Cerita lori rosak brek belum berakhir?

Cerita lori rosak brek belum berakhir?

LORI yang membawa muatan berlebihan, antara punca berlaku kemalangan jalan raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap kali berita mengenai kemalangan membabitkan lori tular di media sosial, kita akan terdengar alasan biasa iaitu brek gagal berfungsi. Malangnya, di sebalik berita yang sama berulang, nyawa terus melayang dan luka masyarakat semakin mendalam. Persoalannya, mengapa isu ini seakan tiada penghujung?

Isu brek lori rosak bukan sekadar masalah teknikal semata-mata. Ia adalah manifestasi kegagalan sistem yang lebih besar. Daripada pemilik syarikat pengangkutan yang mengabaikan penyelenggaraan, hingga kelemahan penguatkuasaan undang-undang, semuanya menyumbang kepada kesinambungan tragedi ini.

Lori yang membawa muatan berlebihan, dipandu oleh pemandu yang keletihan atau tidak berlesen serta gagal melalui pemeriksaan berkala, menjadi bom jangka yang menunggu masa untuk meletup di jalan raya.

Dalam dunia pengangkutan komersial, tekanan untuk mengejar keuntungan menyebabkan aspek keselamatan dikompromi. Pemandu lori, khususnya, sering dipaksa bekerja lebih masa tanpa rehat mencukupi demi memenuhi jadual penghantaran. Akibatnya, mereka memandu dalam keadaan mengantuk, kurang fokus dan mudah melakukan kesilapan. Lebih memburukkan keadaan, kebanyakan lori yang digunakan berusia lebih sedekad dan tidak mendapat penyelenggaraan menyeluruh yang sepatutnya.

Di sinilah pentingnya kesedaran dan tanggungjawab bersama. Pemilik syarikat perlu sedar keselamatan bukanlah kos tambahan, sebaliknya satu pelaburan penting untuk kelangsungan perniagaan dan nyawa manusia. Pemandu perlu dilatih semula dengan penekanan terhadap etika pemanduan selamat. Pihak berkuasa pula perlu bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang culas tidak kira syarikat besar atau individu.

Masyarakat juga memainkan peranan penting. Suara awam mampu memberi tekanan kepada kerajaan dan agensi terlibat untuk bertindak lebih cekap. Media perlu memainkan peranan mendidik dan bukan sekadar melaporkan sensasi kemalangan. Pendidikan keselamatan jalan raya mesti diperkasakan bermula dari peringkat sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi.

Kemajuan teknologi juga boleh dimanfaatkan dalam menangani isu ini. Sistem brek automatik (ABS), pemantauan muatan secara digital dan pelbagai aplikasi pemantauan boleh digunakan bagi mengesan kenderaan berat yang tidak selamat berada di atas jalan raya. Pihak berkuasa boleh bekerjasama dengan institusi teknologi bagi membangunkan sistem amaran awal yang boleh mengenal pasti lori berisiko tinggi, sekali gus mencegah kemalangan daripada berlaku.

Akhirnya, semua perlu akui cerita brek lori rosak belum berakhir kerana kita belum benar-benar bersungguh-sungguh menamatkannya. Ia bukan sekadar cerita sedih di dada akhbar, tetapi tragedi yang meninggalkan kesan mendalam kepada ramai insan.-UTUSAN

AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,
Kumpulan Interflour

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN