Teknologi blok rantai (blockchain) berpotensi merevolusi sistem tadbir urus kerajaan yang mampu mempertingkatkan ketelusan, kecekapan dan kepercayaan dalam pengurusan sektor awam.
Bayangkan setiap transaksi kewangan kerajaan daripada perolehan hingga bayaran kontrak boleh diakses dan diaudit secara terbuka.
Proses pemberian tender contohnya, boleh direkod dalam sistem yang tidak boleh dimanipulasi oleh individu tertentu. Ini dapat menutup ruang kepada penyelewengan dan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam.
Blok rantai turut menawarkan ciri kontrak pintar yang berfungsi secara automatik mengikut syarat ditetapkan. Sebagai contoh, pembayaran kepada kontraktor hanya berlaku apabila kerja disahkan siap tanpa perlu melalui proses kelulusan manual yang memakan masa.
Bagi merealisasikan potensi blok rantai dalam pentadbiran kerajaan Malaysia, beberapa langkah strategik perlu diberi keutamaan. Pertama, kerajaan harus mewujudkan dasar dan kerangka perundangan yang menyokong penggunaan teknologi ini secara meluas dan beretika.
Langkah ini penting bagi menyediakan asas perundangan yang kukuh untuk pelaksanaan dan pemantauan teknologi itu.
Kedua, pelaksanaan projek rintis di sektor-sektor terpilih seperti perolehan kerajaan, pendaftaran tanah dan pengurusan bantuan kewangan wajar dilakukan untuk menguji keberkesanan dan penyesuaian teknologi tersebut dalam konteks pentadbiran tempatan.
Ketiga, latihan dan bengkel bersasar perlu diperbanyakkan bagi meningkatkan kesedaran serta kemahiran digital dalam kalangan penjawat awam agar mereka bersedia menerima dan mengurus sistem baharu ini.
Kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan institusi akademik harus diperkukuh untuk membangunkan sistem blok rantai yang mesra pengguna, telus dan selamat. Perkongsian kepakaran dan sumber dapat mempercepatkan pembangunan teknologi yang sesuai dengan keperluan negara.
Di samping itu, penyediaan insentif kepada agensi kerajaan yang berani melaksanakan teknologi baharu boleh menjadi pemangkin kepada perubahan budaya kerja. Penubuhan pusat kecemerlangan dalam bidang blok rantai yang berperanan sebagai hab penyelidikan, pembangunan dan pemindahan teknologi wajar dipertimbangkan. Ia dapat menjadi platform untuk menguji aplikasi blok rantai yang bersesuaian dengan persekitaran pentadbiran Malaysia.
Kerajaan juga boleh mengadakan pertandingan inovasi digital dalam sektor awam untuk mencungkil idea baharu daripada warga kerja sendiri.
Satu lagi aspek penting ialah mengintegrasikan teknologi blok rantai dengan sistem digital sedia ada seperti sistem pengurusan kewangan, pendaftaran penduduk dan pemantauan projek. Ini akan membolehkan interoperabiliti sistem dan mencegah pendigitan secara silo.
Penyatuan data dan sistem ini bukan sahaja menjimatkan kos jangka panjang malah meningkatkan ketepatan data serta memudahkan analitik bagi tujuan perancangan dan pemantauan dasar.
Dalam pada itu, institusi pendidikan tinggi (IPT) harus memainkan peranan dengan menawarkan modul khas berkaitan blok rantai. Dalam masa sama, kerajaan perlu memperkukuh infrastruktur digital dan keselamatan siber bagi memastikan sistem yang dibangunkan kekal selamat dan efisien. Rakyat juga perlu diberi pemahaman jelas mengenai manfaat teknologi ini melalui kempen kesedaran dan penyertaan dalam projek perintis.
Penyertaan masyarakat sebagai pengguna akhir harus diberi keutamaan, agar sistem yang dibangunkan benar-benar responsif terhadap keperluan dan kebimbangan awam. – UTUSAN
DR. NORAZWA AHMAD ZOLKIFLI @ UDA
Pensyarah Politeknik Nilai










