SAYA agak terperanjat apabila membaca tajuk utama akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai kes pengabaian kanak-kanak di negara ini meningkat hampir tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu yang dilihat mencapai tahap membimbangkan.
Laporan tersebut menyebut rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kes pengabaian kanak-kanak pada tahun 2020 berjumlah 1,618 kes meningkat kepada 4,126 kes tahun lalu.
Akta Kanak-Kanak 2001 di bawah Seksyen 17 17(1) (d) menyatakan pengabaian kanak-kanak merujuk kepada tidak menyediakan keperluan asas (makan minum, tempat tinggal, pakaian, kasih sayang dan pendidikan) dan boleh mendedahkan mereka kepada bahaya, termasuk mengancam nyawa.
Dalam tempoh tersebut, JKM merekodkan sebanyak 31,247 kes perlindungan dan pemeliharaan kanak-kanak termasuk pengabaian, dengan lebih 64 peratus mangsa adalah kanak-kanak perempuan.
Membaca laporan itu, ia amat menyedihkan kerana masih ada kalangan ibu bapa yang sanggup mendera anak mereka sendiri.
Membicarakan hal tersebut, teringat saya kepada peristiwa seekor ibu gajah yang tidak sanggup berpisah dengan bangkai anaknya yang mati dilanggar lori baru-baru ini.
Sedangkan haiwan pun tahu memberi kasih sayang kepada anak, kenapa ada pula manusia yang lebih berakal dari haiwan sanggup mengabaikan tanggungjawab menjaga anak sendiri.
Setiap ibu bapa yang sanggup mendera anak mereka sendiri, sepatutnya bersyukur kerana mereka dikurniakan anak sebagai penyambung zuriat bukan mendera mereka hingga terdedah kepada risiko kematian.
Dalam menghadapi situasi sebegini, saya menyarankan setiap ibu bapa atau siapa sahaja, termasuk bapa atau ibu tiri yang mendera kanak-kanak hendaklah dihukum dengan hukuman seberatnya, sejajar dengan perbuatan yang mereka lakukan. – UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










