Tubuh RCI siasat isu letupan paip gas di Putra Heights

Tubuh RCI siasat isu letupan paip gas di Putra Heights

PEMILIK harta yang terjejas boleh mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebabkan kerugian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) perlu segera ditubuhkan bagi menyiasat isu yang melibatkan letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, baru-baru ini. Ini bagi memastikan proses siasatan menyeluruh dapat dilakukan bagi mengenal pasti punca letupan berkenaan serta mencari jalan penyelesaian untuk mengelakkan kejadian sama daripada berlaku pada masa hadapan.

Kejadian berkenaan perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana ia melibatkan kepentingan awam dan keselamatan orang ramai. Kita tidak mahu melihat kejadian yang sama berlaku lagi dalam negara kita.

Terdapat banyak isu berbangkit yang melibatkan kejadian berkenaan seperti aspek kecuaian, kelemahan proses pemantauan dan penguatkuasaan, ketidakpatuhan undang-undang yang telah dibangkitkan oleh sesetengah pihak.

Bagi mengenal pasti punca sebenar kenapa ia berlaku dan bagi mengelakkan orang ramai daripada terus merasa keliru dengan kejadian ini, adalah penting satu proses siasatan menyeluruh dapat dilakukan terhadap kejadian berkenaan.

Dan ini dapat dilakukan melalui penubuhan RCI. Ini penting bagi memberi ruang dan peluang kepada pihak-pihak yang lebih pakar dan berpengalaman untuk siasat segala isu berbangkit melibatkan kejadian berkenaan.

Yang di-Pertuan Agong boleh memberi perkenan baginda terhadap perkara ini jika dimohon dari pihak kerajaan untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan seperti yang jelas termaktub di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) terbabit jelas memperuntukkan Agong boleh, jika didapatinya sesuai dan manfaat berbuat demikian, mengeluarkan suatu tauliah melantik seorang pesuruhjaya atau lebih dan memberi kuasa pesuruhjaya itu untuk menyiasat kelakuan mana-mana pegawai persekutuan, perjalanan atau pengurusan mana-mana jabatan perkhidmatan awam Malaysia, perjalanan atau pengurusan mana-mana institusi awam yang tidak semata-mata diselenggarakan dengan kumpulan wang negeri atau apa-apa perkara lain yang siasatannya, pada pendapat Agong, berfaedah bagi kebajikan awam.

Perkataan kebajikan awam ini adalah luas yang boleh juga meliputi segala isu berbangkit termasuk kejadian letupan paip gas yang berlaku baru-baru ini. Hasil siasatan yang dilakukan kemudian dapat dikemukakan kepada pihak kerajaan untuk tindakan lanjut.

Selalunya, di dalam laporan RCI ini terdapat pelbagai cadangan yang boleh diberikan kepada pihak kerajaan bagi mengambil tindakan lanjut setelah proses siasatan selesai dilakukan.

Penubuhan sesebuah RCI ini bukanlah satu perkara baharu dalam negara kita, ia telah dilaksanakan banyak kali, setiap kali wujudnya isu-isu peringkat nasional melibatkan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan awam dalam negara.

Kita pernah sahaja wujudkan RCI bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dan bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Apa yang paling penting sekali, dengan adanya RCI ini, kita dapat mengenal pasti dengan lebih mendalam segala isu berbangkit yang ada.

Penubuhan RCI penting supaya rakyat berasa yakin dan percaya terhadap keseriusan kerajaan untuk mengambil segala langkah yang perlu bagi mengatasi segala masalah dan kelemahan dengan segera demi rakyat dan negara.-UTUSAN

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN