Terima kasih penjawat awam

Terima kasih penjawat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP tahun pada 1 Mei, kita menyambut Hari Pekerja bukan sebagai satu perayaan tetapi sebagai satu pengiktirafan terhadap sumbangan besar para pekerja dalam memajukan negara.

Dalam pelbagai sektor pekerjaan yang ada di negara ini, penjawat awam memegang peranan yang sangat penting. Mereka adalah tenaga yang mendukung sistem negara, memastikan segala urusan berjalan lancar dan keperluan rakyat sentiasa dipenuhi.

Penjawat awam ini bekerja di pelbagai tempat, dari kawasan bandar hingga ke ceruk desa, di tengah ibu kota mahupun di pulau-pulau terpencil. Ada yang bertugas di kawasan bencana, ada yang bekerja di makmal dan ada juga yang menjalankan tugas secara fleksibel mengikut bidang kerja. Masing-masing berhadapan dengan cabaran tersendiri, namun tetap melaksanakan tugas dengan semangat dan iltizam yang tinggi.

Semua ini berlaku dengan lancar kerana ada individu-individu yang bekerja di sebalik tabir, menggerakkan sistem yang menyokong kehidupan kita.

Penjawat awam bukan hanya terdiri daripada satu golongan atau satu profesion sahaja. Mereka datang daripada pelbagai latar belakang dan bidang kepakaran. Di institusi pendidikan, guru dan pensyarah di sekolah serta universiti bersama pegawai pendidikan, gigih mencorak masa hadapan generasi akan datang. Di hospital dan klinik, doktor, jururawat dan petugas kesihatan memberikan rawatan yang penuh dedikasi. Di balai polis dan balai bomba, anggota keselamatan bersiap sedia menghadapi kecemasan dan menjaga ketenteraman awam. Di pejabat kerajaan pula, pegawai pentadbiran memastikan sistem penyampaian perkhidmatan berjalan lancar untuk rakyat.

Tanpa peranan mereka, banyak fungsi perkhidmatan awam tidak akan dapat berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan.

Lebih daripada sekadar menjalankan tanggungjawab harian, ramai dalam kalangan mereka juga berperanan sebagai pemudah cara, pendengar, pembimbing dan kadangkala, penyelamat. Dalam kesibukan kerja, mereka masih mampu memberi senyuman, kata semangat dan sokongan kepada rakyat yang memerlukan.

Hari Pekerja adalah masa yang sesuai untuk kita memberi penghargaan yang selayaknya. Ia bukan sekadar tentang bonus atau anugerah perkhidmatan cemerlang. Kadangkala, satu ucapan terima kasih, satu penghormatan kecil atau sekadar sikap memahami, sudah cukup untuk menyemarakkan semangat mereka.

Kita harus sedar di sebalik setiap dokumen yang diproses, setiap kelas yang diajar dan setiap rawatan yang diberikan, ada seorang insan yang bekerja bersungguh-sungguh demi rakyat dan negara. Rakyat melihat dan merasai hasil kerja anda, walaupun ia jarang disebut secara terbuka.

Sebagai masyarakat, kita harus terus menyokong penjawat awam dengan cara yang bermakna. Tunjukkan rasa hormat, berikan kerjasama dan bersikap sabar ketika berurusan. Mereka juga manusia biasa yang mempunyai keluarga dan tanggungjawab peribadi, namun masih berusaha memberikan yang terbaik dalam kerjaya.

Buat semua penjawat awam, anda bukan sahaja tulang belakang malah nadi kepada perkhidmatan negara. Terima kasih atas setiap usaha, peluh yang mengalir dan detik masa yang dikorbankan. Negara ini tidak akan mampu berdiri teguh tanpa sumbangan anda yang berterusan.
Semoga Hari Pekerja ini menjadi ruang untuk anda merasa dihargai, dikenang dan terus bersemangat untuk berbakti.-UTUSAN

Selamat Hari Pekerja.

SYED AZMAN SYED ISMAIL
Fakulti Pendidikan Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×