Siapa pilihan rakyat di Ayer Kuning?

Siapa pilihan rakyat di Ayer Kuning?

RAKYAT akan cenderung memilih calon yang banyak berjumpa dan turun padang dalam Pilihan Raya Kecil 9PRK) Ayer Kuning pada 26 April ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bakal menemukan dua buah parti politik utama negara. Barisan Nasional (BN) yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan Pas mewakili Perikatan Nasional (PN).

Di tengah-tengah pertembungan ini, muncul pula Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk cuba mencuri undi seberapa banyak undi yang boleh.

​Pengundi di Ayer Kuning berpeluang untuk menilai sejauh mana kekuatan dan kelebihan calon yang bertanding untuk PRK kali ini. Secara ringkas, bolehlah dikatakan seseorang calon yang banyak berjumpa dan turun padang mempunyai peluang untuk memenangi hati pengundi.

Calon perlu bergerak dan mendekati pengundi, memperkenalkan diri dan menceritakan apakah wawasan serta idea untuk memajukan Ayer Kuning.

Sebaiknya mestilah bercakap di atas nilai fakta dan tidak hanya berjanji kosong. Yang lebih penting bukan hanya bercakap ketika untuk meraih undi sahaja.

​Hasil pertemuan dengan pengundi, kebolehpercayaan dan kewibawaan seseorang calon akan terserlah sedikit demi sedikit. Gerak-geri dan gaya berkomunikasi calon semuanya akan dinilai oleh pengundi. Secara dalam diam, pengundi akan menyimpan perasaan bergantung harap dan menaruh kepercayaan kepada seseorang calon. Seterusnya pengundi akan memberi undi kepada calon tersebut, jika memenuhi kriteria yang dihajati. Elemen kredibiliti ini perlu dibina dan sepatutnya bersifat berterusan. Itulah aset yang bernilai bagi seseorang calon yang bertanding.

​Di sisi lain, kemampuan dan kebolehan calon memahami isu setempat, juga dilihat penting dalam usaha untuk meraih undi. Idea yang bernas dan kreatif boleh memberi impak yang besar.

Kelebihan kepada calon tempatan, yang lebih memahami dan dekat isu berkaitan.

Sememangnya semua calon yang bertanding, sudah mengkaji faktor demografi penduduk Ayer Kuning dengan mendalam. Setiap kategori penduduk yang mewakili pengundi Ayer Kuning mempunyai keperluan dan masalah yang berbeza. Sebagai contoh, penduduk kaum Cina dari kawasan pertanian yang bekerja menanam sayur, mempunyai kehendak berbeza dengan penduduk yang tinggal di kawasan perkampungan tradisional Melayu. Sumber berbeza dan kehendak juga akan berlainan.

​Kemampuan dan kebolehan mendekati golongan muda adalah suatu kelebihan. Setiap kali adanya pilihan raya, sama ada pilihan raya umum (PRU) atau PRK, kehadiran generasi muda dilihat semakin penting. Seringkali golongan ini dikatakan penentu atau ‘king maker’ dalam keputusan pilihan raya. Mereka dilihat lebih kritikal dalam menilai calon berdasarkan rekod kerja, taraf pendidikan serta visi yang ditawarkan.

Aspirasi golongan muda ini lebih terarah kepada faktor mendepani arus kemodenan dan keperluan kehidupan. Calon perlu memahami aspirasi anak muda, menawarkan solusi kepada isu seperti peluang pekerjaan, meningkat ekonomi setempat dan memenuhi kesejahteraan sosial yang mampan. Penyediaan kemudahan untuk mereka bersukan dan beriadah adalah salah satu agenda utama.

​Pilihan raya bagai pesta demokrasi yang memerlukan penglibatan banyak pihak. Tugas pengundi adalah memilih wakil yang dirasakan layak. Tugas sebagai seorang calon ialah berkempen secara sihat dan bersifat profesional. Jangan berkempen untuk menaburkan sentimen kebencian dalam kalangan orang ramai. Yang menang nanti, bekerjalah untuk rakyat dan negara dan seterusnya menjaga nama baik agama.-UTUSAN

ZAMRI PRK
Kg Sungai Lesong, Kampar,
Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN