Semakin banyak dapat, semakin kurang bersyukur

Semakin banyak dapat, semakin kurang bersyukur

RASA tidak bersyukur boleh berlaku dalam bentuk kerakusan mengejar kekayaan tanpa batas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM konteks masyarakat moden hari ini, semakin ramai dalam kalangan rakyat menunjukkan sikap tidak bersyukur meskipun hidup dalam keselesaan dan limpahan kemudahan.

Sikap tidak bersyukur ini boleh dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan. Contohnya, apabila kerajaan memperkenalkan bantuan tunai kepada rakyat yang memerlukan, ada segelintir pihak mengeluh dan mempersoalkan jumlah diterima, walaupun bantuan itu diberi secara percuma tanpa perlu dibayar semula. Mereka tidak lagi melihat bantuan itu sebagai tanda keprihatinan, tetapi lebih kepada hak yang wajib diberi, lantas menimbulkan rasa tidak puas hati dan sindiran yang berlebihan di media sosial. Tindakan seperti ini mencerminkan kecenderungan untuk memandang rendah usaha pihak yang membantu.

Lebih membimbangkan, sikap kurang bersyukur ini turut menjangkiti generasi muda yang hidup dalam zon selesa. Mereka tidak melalui zaman kesusahan. Apabila ada kekurangan kecil, seperti gangguan internet selama beberapa jam atau tiada wang saku lebih untuk membeli minuman premium, mereka mudah melenting dan menyalahkan takdir. Inilah natijah apabila manusia terlalu lama dimanjakan dengan kesenangan.

Dari sudut lain, ketidaksyukuran juga boleh berlaku dalam bentuk kerakusan mengejar kekayaan tanpa batas. Ada rakyat yang sudah hidup senang, memiliki rumah besar, kenderaan mewah dan pekerjaan bergaji tinggi, namun masih tamak dan sanggup menindas orang lain untuk mendapatkan lebih. Mereka tidak puas dengan rezeki yang ada, malah memanipulasi sistem untuk kepentingan peribadi. Ini menunjukkan nikmat yang banyak tidak semestinya membawa kepada kesyukuran, sebaliknya boleh menimbulkan penyakit hati jika tidak disertai nilai rohani yang kukuh.

Kerajaan dan masyarakat harus memainkan peranan penting dalam mendidik rakyat agar kembali kepada nilai kesyukuran. Pendidikan moral dan agama perlu diperkukuh di sekolah, bukan sekadar dalam silibus tetapi dalam budaya harian.

Ibu bapa pula harus menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak dengan mengajar erti menghargai dan memberi, bukan hanya meminta. Setiap individu wajar diajar untuk melihat ke bawah, agar mereka sedar masih ramai yang hidup dalam kesempitan dan kekurangan.

Selain itu, program-program kemasyarakatan seperti aktiviti sukarelawan, bantuan bencana dan khidmat komuniti perlu digalakkan agar rakyat dapat menyelami penderitaan orang lain. Apabila seseorang terlibat membantu golongan yang lebih susah, barulah dia sedar betapa banyak nikmat yang telah dikecapinya selama ini. Kesedaran seperti ini hanya akan hadir melalui pengalaman langsung, bukan hanya melalui nasihat dan kata-kata. Justeru, pengalaman menyumbang dan membantu adalah cara terbaik untuk menyemai rasa syukur dalam diri.-UTUSAN

CHE RAHMAH AHMAD
Parit Sulong, Batu Pahat

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN