SEBUAH rakaman ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melawat bazar Ramadan di Kuala Lumpur menarik perhatian ramai. Dalam video tersebut, seorang wanita secara spontan meluahkan perasaannya, “Kenapa tidak ada klon Tun (Dr. Mahathir)? Tempat ini akan ‘jatuh’, tolong buat kemunculan semula.”
Kata-kata itu bukan sekadar luahan individu tetapi cerminan sentimen ramai rakyat merasa kehilangan seorang pemimpin yang pernah membawa Malaysia ke tahap disegani dunia.
Namun, ironinya, adakah kita hanya belajar menghargai sesuatu setelah ia tiada?
Malaysia pernah dipimpin seorang tokoh yang meletakkan asas ekonomi, pembangunan dan hala tuju negara dengan jelas. Sepanjang pentadbirannya, Dr. Mahathir bukan sahaja merancang untuk jangka pendek tetapi juga merangka dasar jangka panjang yang mampu menjamin kestabilan negara.
Tetapi selepas pemergiannya dari tampuk kuasa, kita melihat bagaimana banyak perancangan itu terbengkalai, digantikan dengan kepentingan peribadi dan politik sempit.
Realitinya, pemimpin datang dan pergi, tetapi kesannya berpanjangan. Pemimpin selepas Dr. Mahathir mempunyai peluang untuk meneruskan kecemerlangan tetapi mengapa mereka gagal? Adakah kerana kurangnya visi? Atau mungkinkah rakyat sendiri terlalu mudah dipengaruhi dengan retorik, sehingga tidak lagi menilai pemimpin berdasarkan keupayaan sebenar?
Hari ini, kita dihidangkan dengan berita skandal, ketirisan wang negara dan kelemahan kepimpinan yang menjejaskan keyakinan rakyat. Keadaan ini membuktikan kebolehan seorang pemimpin bukan sekadar bergantung pada populariti, tetapi pada kebijaksanaan dalam menguruskan negara.
Dr. Mahathir kini mencecah usia 100 tahun. Beliau tidak akan kembali sebagai pemimpin negara, tetapi pemikirannya masih bernilai sebagai pedoman. Namun, soalan yang lebih penting, adakah kita benar-benar belajar daripada sejarah, atau kita hanya akan terus merindui masa lalu tanpa berusaha memperbaiki masa hadapan?
Kesedaran tanpa tindakan tidak akan mengubah apa-apa. Jika rakyat ingin melihat perubahan, mereka tidak boleh sekadar berharap munculnya klon Dr. Mahathir. Sebaliknya, mereka perlu menjadi rakyat yang lebih bijak dalam memilih pemimpin dan memastikan negara ini tidak terus dipimpin oleh mereka yang lebih mementingkan kuasa daripada tanggungjawab. – UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM
Ahli Majlis Proklamasi Orang Melayu (POM)










