Perlembagaan asas kestabilan negara

Perlembagaan asas kestabilan negara

PERLEMBAGAAN menjamin hak asasi setiap warganegara termasuk kebebasan bersuara, beragama dan hak untuk mendapatkan pendidikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERLEMBAGAAN Persekutuan merupakan asas utama dalam pembentukan dan kestabilan negara. Sebagai dokumen tertinggi, ia menetapkan rangka kerja bagi sistem pemerintahan, hak asasi rakyat serta prinsip-prinsip yang mendasari keharmonian antara pelbagai kaum dan agama. Perlembagaan berfungsi sebagai tiang seri yang menyokong struktur negara dan tapak integrasi yang menyatukan masyarakat majmuk Malaysia.

Perlembagaan menyediakan landasan kukuh bagi sistem pemerintahan Malaysia yang berasaskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Ia menetapkan pembahagian kuasa antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman, memastikan keseimbangan dan semak imbang dalam pentadbiran negara.

Selain itu, Perlembagaan menjamin hak asasi setiap warganegara, termasuk kebebasan bersuara, beragama dan hak untuk mendapatkan pendidikan. Dengan adanya peruntukan ini, Perlembagaan berperanan sebagai tiang seri yang memastikan kestabilan politik dan sosial negara.
Artikel 3, misalnya, menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan, namun pada masa sama menjamin kebebasan beragama bagi penganut agama lain. Peruntukan ini membolehkan rakyat Malaysia mengamalkan kepercayaan masing-masing dalam suasana saling hormat-menghormati, menjadikan Perlembagaan sebagai tapak integrasi yang kukuh.

Baru-baru ini, isu pembinaan kuil secara tidak sah menimbulkan perbincangan dalam masyarakat. Di Kuala Lumpur sahaja, sebanyak 115 kuil dan tokong dikenal pasti didirikan di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran. Daripada jumlah tersebut, lapan kes diselesaikan dengan pemberian surat tawaran pendudukan secara sah, manakala selebihnya ditawarkan tapak ganti yang dirizabkan sebagai tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).

Isu ini menimbulkan cabaran dalam menyeimbangkan antara kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan dan pematuhan terhadap undang-undang berkaitan penggunaan tanah.

Dalam menangani isu pembinaan kuil tidak sah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah proaktif dengan mengenal pasti lokasi baharu bagi pemindahan rumah ibadat yang terlibat, memastikan penganut dapat terus menjalankan aktiviti keagamaan dengan selesa dan harmoni. DBKL juga memberi komitmen untuk tidak melakukan sebarang aktiviti perobohan struktur kuil sehingga proses pemindahan selesai.

Selain itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menubuhkan pasukan khas bagi menangani kes kuil tidak sah.

Pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan dalam pembinaan rumah ibadat penting bagi memastikan keharmonian dan ketertiban dalam masyarakat. Setiap komuniti agama perlu memahami dan menghormati prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk mendapatkan kebenaran merancang sebelum mendirikan rumah ibadat. Ini bukan sahaja mematuhi undang-undang, tetapi juga menunjukkan rasa hormat terhadap hak dan kepentingan komuniti lain.

Dialog antara agama dan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan adalah kunci dalam menyelesaikan isu-isu sensitif seperti ini. Melalui komunikasi yang terbuka dan konstruktif, penyelesaian yang adil dan memuaskan bagi semua pihak dapat dicapai. Bahkan, ia selaras dengan semangat Perlembagaan yang menekankan keharmonian dan perpaduan nasional.-UTUSAN

MOHD KHAIRULAZMAN ABU BAKAR
Ketua Unit Komunikasi Korporat,
Politeknik Hulu Terengganu (PHT).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN