RAMADAN bukan sekadar bulan ibadah tetapi juga medan latihan untuk membentuk disiplin diri, terutamanya dalam pengurusan masa. Hikmah ini wajar dijadikan asas kepada kehidupan yang lebih seimbang dan bermakna selepas Ramadan.
Jika tidur mengambil masa antara enam hingga tujuh jam, maka berbaki sekitar 17 jam untuk aktiviti lain. Daripada jumlah itu, sekitar lapan hingga 10 jam biasanya diperuntukkan untuk kerja atau belajar dan dua hingga tiga jam untuk makan, mandi serta menguruskan hal harian. Ini bermakna masih ada empat hingga enam jam yang boleh digunakan untuk ibadah, pembelajaran, rehat atau refleksi diri.
Contohnya, membaca satu muka surat al-Quran beserta tafsir mengambil masa kira-kira 10 minit. Jika diluangkan satu jam sehari, kita boleh menghabiskan kira-kira 180 muka surat dalam sebulan, iaitu hampir satu pertiga daripada al-Quran. Prinsip ini boleh terus diamalkan selepas Ramadan, sama ada dalam pembacaan, pembelajaran atau membina amalan baik yang lain.
Dalam Ramadan, kita lebih cenderung memulakan hari lebih awal, sama ada untuk bersahur atau menunaikan solat Subuh berjemaah. Ramai juga yang menambah amalan dengan solat Dhuha dan merancang tugasan harian. Ini boleh menjadi permulaan kepada tabiat baharu iaitu memulakan hari dengan penuh kejelasan dan keberkatan, bukan sekadar mengikut rutin harian.
Ramadan turut melatih kita untuk memanfaatkan waktu-waktu kecil dengan lebih bijak. Contohnya, waktu rehat yang singkat boleh digunakan untuk berzikir, membaca doa pendek atau sekadar bermuhasabah. Jika kita mampu melakukannya dalam Ramadan, tidak ada sebab untuk tidak meneruskannya selepas itu. Lima atau 10 minit yang digunakan dengan sedar untuk mengingati Allah boleh menjadi penenang hati dan pemangkin kekuatan sepanjang hari.
Malam Ramadan juga telah mengajar kita untuk memberi ruang kepada ibadah. Walaupun solat Tarawih hanya dilakukan dalam bulan ini, semangat menghidupkan malam boleh diteruskan dengan membaca al-Quran, menunaikan solat sunat seperti tahajud dan witir atau sekadar meluangkan masa untuk berdoa dan bermuhasabah. Waktu malam yang berkualiti bukan sahaja meningkatkan hubungan kita dengan Allah, malah memberi ruang untuk menenangkan fikiran dan menyusun semula arah kehidupan.
Ramadan turut mengingatkan kita bahawa masa adalah aset yang sangat bernilai. Ia seperti sebuah persamaan seimbang. Jika satu bahagian mengambil terlalu banyak masa, bahagian lain akan terjejas.
Oleh itu, selepas Ramadan, marilah kita terus menyeimbangkan antara kerja, ibadah, keluarga dan rehat dengan lebih bijaksana.
Bulan Ramadan akan berlalu tetapi semangatnya tidak harus pergi. Pengurusan masa yang telah kita latih sepanjang bulan ini boleh menjadi panduan untuk menjalani kehidupan yang lebih teratur, tenang dan berkat. Sama ada dalam mengejar urusan dunia atau menuju akhirat, masa yang diurus dengan baik akan sentiasa membawa pulangan yang tidak ternilai.
Semoga Ramadan yang sedang kita tinggalkan ini menjadi titik perubahan yang berkekalan.
Marilah kita cipta rutin baharu yang lebih seimbang, produktif dan bermanfaat, bukan hanya untuk bulan yang mulia ini tetapi bagi sepanjang hayat.-UTUSAN
SYED AZMAN SYED ISMAIL & PROFESOR MADYA DR. SITI MISTIMA MAAT
Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia










