Mengapa Presiden China mahu melawat Malaysia?

Mengapa Presiden China mahu melawat Malaysia?

APABILA dua gergasi sedang bergaduh, pilihan terburuk yang boleh Malaysia lakukan ialah tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAKIKAT Presiden Xi Jinping ‘mencemar duli’ dengan melawat negara-negara kecil seperti Malaysia, berkemungkinan tanda China sedang bertindak balas terhadap usaha Amerika Syarikat (AS) dengan cuba menarik seberapa banyak negara yang mungkin untuk berpihak kepadanya, sama ada untuk mempertahankan diri atau menyerang balas AS bagi menggulingkan kedudukannya sebagai kuasa utama dunia.

Fakta Malaysia hanya menghantar Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk bertemu wakil AS berkenaan isu tarif, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal di Malaysia untuk menyambut Xi, berkemungkinan besar akan dilihat sebagai isyarat yang negara ini cenderung berpihak kepada China berbanding AS.

Adakah wajar Malaysia menghantar isyarat sebegini? Ya. Walaupun saya tidak pasti ia 100 peratus wajar. Saya rasa ini adalah isyarat terbaik yang boleh kita hantar dalam situasi sekarang.

Apabila dua gergasi sedang bergaduh, pilihan terburuk yang boleh kita lakukan ialah tidak menyebelahi mana-mana pihak. India mungkin mampu untuk tidak berpihak, kerana ia cukup besar untuk berbuat demikian. Tetapi Malaysia, sebuah negara kecil tidak mampu mengambil pendekatan itu. Jika tidak berpihak, kita mungkin akan dihancurkan dan tidak menerima sokongan dari mana-mana pihak.

Persoalannya sekarang, pihak mana yang patut kita pilih? Jawapannya sudah tentu pihak yang akan menang. Tetapi masalahnya ialah, kita masih belum tahu siapa yang akan menang dalam pertarungan yang bakal berlaku antara AS dan China.

Berdasarkan logik, negara-negara Asia seharusnya berpihak kepada China atas dasar warna kulit dan persamaan identiti. Walau apa pun masalah kita dengan China, apabila keadaan menjadi getir, Malaysia harus menyedari kita mempunyai persamaan dari segi sejarah, geografi dan budaya dengan China. Ini membuka peluang lebih besar untuk memilih China berbanding Barat.

Melihat semua ini, saya rasa kerajaan mengambil tindakan tepat dengan meletakkan lebih banyak kepercayaan kepada China berbanding AS. Namun, saya juga rasa kerajaan harus bertaruh pada China hanya setakat mana negara itu menghargai risiko yang kita ambil untuk menyebelahi mereka.
Menyebelahi China dalam waktu yang getir adalah risiko besar. Jika China ialah negara yang layak disokong, ia akan sedar akan risiko yang kita ambil dan memperkukuh kedudukan Malaysia secukupnya.

Jika China menghargai sokongan dan berterima kasih atas risiko besar yang kita ambil ketika masa hadapan mereka masih samar-samar, maka apabila Xi akan membawa bersama ‘peralatan’ yang kita perlukan untuk menghadapi tekanan AS selain hadiah dan ganjaran yang meyakinkan bahawa Beijing menghargai sokongan Malaysia.

Jika tidak, mungkin lebih baik kita kekal berpihak kepada Barat — atas prinsip ‘lebih baik syaitan yang dikenali’.

China ialah pencabar dan menjadi tanggungjawab negara itu untuk membuktikan mereka lebih baik daripada penyandang (AS), supaya orang lain akan nampak nilai sebenar.

Jika pencabar gagal membuktikan kelebihannya, maka pilihan yang lebih bijak untuk kita adalah terus bersama AS.

Kini, bola berada di kaki Presiden Xi.-UTUSAN

NEHRU SATHIAMOORTHY
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya