SUDAH sampai masanya kita mengambil satu langkah baharu bagi memastikan setiap janji manis politik atau janji–janji manifesto yang dibuat ketika proses pilihan raya dipandang serius. Ia perlu dipenuhi tanpa sebarang alasan.
Mana–mana ahli atau parti politik yang membuat janji–janji manis khususnya melalui manifesto pilihan raya perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua janji yang dibuat.
Bak kata pepatah Melayu, ‘Kerbau diikat pada tali, manusia diikat dengan janjinya’.
Amat menyedihkan sekiranya janji manis yang dibuat di dalam manifesto pilihan raya tidak dipenuhi dan ditepati oleh mana–mana ahli politik atau parti politik setelah memenangi proses pilihan raya dan memegang kuasa untuk memerintah.
Tindakan untuk melengah–lengahkan, tidak memenuhi atau menepati janji yang dibuat menunjukkan dengan jelas sikap tidak hormat terhadap pengundi yang memberi kepercayaan dengan mengundi ahli dan parti politik.
Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran mengambil langkah yang proaktif dalam mengatasi isu ini.
Pindaan boleh dilakukan melalui sebarang akta sedia ada berkaitan dengan proses pilihan raya seperti Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) bagi menyelesaikan perkara ini demi melindungi hak dan kepentingan pengundi dalam negara.
Sementara, pengundi perlu sentiasa bijak dan berhati–hati dalam menilai segala janji manis yang diberikan melalui manifesto pilihan raya.-UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










