Malaysia kini jadi tarikan utama pelaburan asing

Malaysia kini jadi tarikan utama pelaburan asing

PENINGKATAN pelaburan asing memberikan pelbagai kesan positif terhadap ekonomi negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Faktor-faktor yang menyumbang kepada peningkatan pelaburan asing di Malaysia adalah pelbagai dan saling berkait. Pertama, dasar kerajaan yang mesra pelaburan. Kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk insentif cukai, kemudahan infrastruktur dan dasar perdagangan terbuka.

Pelaksanaan dasar-dasar seperti Pelan Induk Perindustrian dan Dasar Pembangunan Perniagaan secara signifikan meningkatkan keyakinan pelabur luar terhadap persekitaran pelaburan di negara ini.

Kestabilan politik dan ekonomi juga merupakan faktor utama yang membantu mengurangkan risiko pelaburan, menjadikannya pilihan menarik bagi pelabur asing yang ingin melabur dengan keyakinan.

Kepelbagaian sektor ekonomi di Malaysia juga menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan pelaburan asing. Dengan ekonomi yang terdiri daripada pelbagai sektor seperti pembuatan, perkhidmatan, dan pertanian, pelabur asing mempunyai pilihan untuk memilih sektor yang sesuai dengan keperluan dan strategi perniagaan mereka. Sektor pembuatan, khususnya, menjadi tumpuan utama bagi pelaburan asing kerana potensi pertumbuhannya yang tinggi.

Sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) juga menunjukkan pertumbuhan yang pesat, menarik pelabur yang ingin memanfaatkan inovasi digital.

Pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan bukan sahaja meningkatkan pengeluaran tetapi juga mencipta peluang pekerjaan yang merangsang pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.

Dengan peningkatan pelaburan dalam sektor-sektor seperti pembuatan dan teknologi maklumat, ramai memperoleh pekerjaan yang baik, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.

Pelaburan asing juga membawa kepada pemindahan teknologi dan pengetahuan yang membantu meningkatkan kecekapan serta daya saing syarikat tempatan. Proses ini bukan sahaja menguntungkan syarikat-syarikat tersebut tetapi juga membantu meningkatkan produktiviti dalam sektor-sektor lain.

Pelaburan asing sering disertai dengan pembangunan infrastruktur yang lebih baik, termasuk jalan raya, pelabuhan, dan kemudahan komunikasi.

Dengan peningkatan taraf hidup melalui penciptaan pekerjaan, masyarakat dapat menikmati akses kepada pendidikan dan kesihatan yang lebih baik. Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat-syarikat asing sering kali menyokong inisiatif komuniti, membantu mengurangkan ketidaksamaan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Kesemua kesan positif ini secara keseluruhan menyumbang kepada kemajuan ekonomi Malaysia.

Walaupun banyak manfaat tetapi terdapat juga cabaran yang perlu diatasi. Salah satu cabaran utama adalah persaingan daripada negara-negara lain yang juga berusaha menarik pelaburan asing.

Selain itu, terdapat kebimbangan mengenai kesan sosial dan alam sekitar daripada pelaburan asing. Projek-projek besar mungkin membawa kepada pengusiran penduduk tempatan dan kerosakan alam sekitar.

Oleh itu, adalah penting bagi kerajaan untuk memastikan bahawa pelaburan asing dilakukan secara bertanggungjawab dan mampan. Terdapat keperluan untuk menguatkuasakan peraturan yang lebih ketat terhadap projek yang berpotensi merosakkan alam sekitar dan memberi impak negatif kepada masyarakat setempat. – UTUSAN

DR. NORAZWA AHMAD ZOLKIFLI @ UDA
Pensyarah Jabatan Perdagangan
Politeknik Nilai

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN