Malaysia, ASEAN perlu bersatu hadapi ancaman tarif Trump

Malaysia, ASEAN perlu bersatu hadapi ancaman tarif Trump

PERPADUAN adalah kunci bukan sahaja di peringkat ASEAN, tetapi juga dalam negara kita sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA yakin, kerajaan lebih awal menyedari tentang ketegangan geopolitik serta ekonomi antara Amerika Syarikat (AS) dan China akan membawa kepada saat-saat seperti ini. Kerajaan juga pastinya sudah mula mempersiapkan Malaysia untuk mempelbagaikan hala tuju ekonomi.

Jangan lupa, tarif Trump hanya terpakai ke atas eksport Malaysia ke AS. AS tidak berkuasa menghalang negara lain daripada terus berdagang antara satu sama lain.

Walaupun kita berharap agar penyelesaian yang adil dan rasional dapat dicapai, tetapi dalam masa sama tetap perlu bersedia untuk merombak, membina semula struktur ekonomi serta hubungan perdagangan secara menyeluruh. Inilah pentingnya strategi kepelbagaian iaitu meneroka potensi bersama rakan sedia ada seperti China dan India, serta pasaran baharu seperti negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Amerika Latin.

Pada masa sama, pelbagai kerangka dasar ekonomi yang diperkenalkan kerajaan dilihat lebih mendesak dan berpandangan jauh.

Ini merangkumi bukan sahaja Ekonomi Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, tetapi juga Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional yang diterajui Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut penting ialah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) di bawah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Asas kepada usaha ini telahpun dibina Nik Nazmi Nik Ahmad ketika beliau menerajui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan kini Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Kelestarian (NRES) di samping pelbagai pelan strategik lain yang saling melengkapi.

Segala inisiatif ini penting bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan relevan dalam ekonomi global. Ini lebih kritikal apabila persaingan pelaburan dan akses pasaran dijangka menjadi semakin sengit.

Keutamaan berterusan kerajaan terhadap ASEAN juga amat tepat. Bukan semata-mata kerana Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun ini tetapi kerana rantau ini antara yang paling terkesan akibat dasar-dasar Trump.

Walaupun AS mungkin enggan berunding dengan ASEAN sebagai satu blok, kita tetap perlu menyelaraskan pendirian agar seragam dalam isu-isu utama. Suara tunggal ASEAN adalah ideal, namun jika itu sukar, kita tetap boleh menjadi satu korus yang harmoni.

Secara keseluruhan, kerajaan boleh dikatakan telah melakukan yang terbaik untuk mempersiapkan negara menghadapi cabaran ini. Kita mesti terus kekal di landasan ini dengan tenang dan yakin, bukan panik. Jika kita berpecah, kita mudah menjadi mangsa kepada sesiapa dan apa sahaja. Tetapi jika kita bersatu, tiada apa yang mampu mengalahkan kita kecuali kelemahan kita sendiri.

Justeru, perpaduan adalah kunci bukan sahaja di peringkat ASEAN, tetapi juga dalam negara kita sendiri. Memang wujud perbezaan politik dan ekonomi, namun para pemimpin telah berusaha sedaya upaya untuk merapatkan jurang yang ada.

Namun, ini adalah waktu krisis. Jika kita terus berpecah belah, kita semua akan tumbang. Marilah kita bersatu sebagai rakyat Malaysia dan juga warga ASEAN kerana tiada cabaran yang tidak dapat diharungi, asalkan kita melangkah bersama.-UTUSAN

MAHATHIR MOHD. RAHIMI
Ipoh

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN