INSIDEN langgar lari semakin menghantui pengguna jalan raya, mencerminkan krisis budaya tanggungjawab yang semakin parah di negara kita.
Baru-baru ini, sebuah lagi tragedi langgar lari di persimpangan lampu isyarat mengorbankan nyawa dan memusnahkan sebuah keluarga. Insiden tragis ini mengingatkan kes langgar lari bukan sekadar statistik, tetapi masalah serius yang perlu ditangani segera.
Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), 90 peratus kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap pemandu sendiri. Angka ini jelas menunjukkan perubahan sikap dan pemikiran pemandu adalah kunci utama dalam mengurangkan tragedi di jalan raya.
Apa yang lebih membimbangkan ialah wujudnya mentaliti dalam kalangan sebilangan pemandu yang beranggapan melarikan diri dari tempat kejadian dapat mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang. Hakikatnya, tindakan pengecut ini bukan sahaja memperburuk kesalahan mereka di sisi undang-undang, malah menambah penderitaan keluarga mangsa dan menyukarkan keadilan ditegakkan.
Amerika Syarikat (AS) melaporkan lebih 737,000 kes langgar lari pada tahun 2015, bersamaan satu insiden setiap 43 saat. Menurut kajian AAA Foundation for Traffic Safety, walaupun hukuman dipertingkatkan melalui undang-undang seperti Aaron Cohen Life Protection Act di Florida, hukuman berat semata-mata tidak memadai untuk mencegah jenayah ini.
Sebaliknya, langkah proaktif yang meningkatkan kadar tangkapan didapati lebih berkesan.
Misalnya, Colorado melaksanakan Program Medina Alert iaitu satu sistem amaran ala Amber Alert yang menyebarkan maklumat kejadian langgar lari melalui mesej teks, emel, siaran televisyen dan radio tempatan bagi mempercepatkan pencarian dan penangkapan suspek.
Pendekatan seperti ini terbukti lebih berkesan dalam memberikan tekanan awam terhadap pesalah dan meningkatkan kadar penyelesaian kes langgar lari.
Singapura pula membuktikan keberkesanan pendekatan bersepadu apabila berjaya mengekalkan kadar langgar lari serendah 1.8 peratus. Mereka menekankan penguatkuasaan undang-undang secara konsisten, pemasangan kamera pemantauan meluas, serta sistem pendaftaran kenderaan yang efisien.
Melihat kepada keberkesanan pendekatan negara lain, sudah tiba masanya Malaysia mengambil langkah konkrit untuk menangani masalah ini.
Malaysia perlu melaksanakan strategi bersepadu untuk membendung insiden ini. Pertama, kempen pendidikan awam yang lebih agresif perlu dilaksanakan bagi menanamkan rasa tanggungjawab moral dalam kalangan pengguna jalan raya.
Kedua, penguatkuasaan undang-undang mesti diperketatkan. Pemasangan kamera di persimpangan utama dan kawasan berisiko tinggi perlu diperluaskan bagi membantu mengesan pesalah dengan lebih cepat.
Ketiga, hukuman terhadap kesalahan langgar lari perlu lebih berat dan setimpal dengan mengambil kira kesan kepada mangsa, termasuk denda tinggi, penggantungan lesen dan hukuman penjara mandatori.
Penambahbaikan infrastruktur seperti pencahayaan di lintasan pejalan kaki dan simpang berisiko tinggi perlu dipertingkatkan demi keselamatan.
Setiap daripada kita bertanggungjawab untuk memastikan jalan raya bukan lagi menjadi medan kematian yang sia-sia.
Mari kita bersama-sama mengubah budaya pemanduan di Malaysia bermula dengan sikap, kesedaran dan rasa tanggungjawab. Jangan biarkan kelalaian hari ini menjadi penyesalan hari esok.-UTUSAN
DR. NORDIANA MASHROS & PROFESOR MADYA DR. NORHIDAYAH ABDUL HASSAN
Kumpulan Penyelidikan Jalan Raya
dan Pengangkutan(PTRG), Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM)










