Keunikan Malaysia yang tiada tolak bandingnya

Keunikan Malaysia yang tiada tolak bandingnya

MALAYSIA mempunyai dasar yang memastikan Melayu dan Islam terus dihormati, sambil menawarkan peluang kepada semua warganegara untuk berkembang dalam kerangka undang-undang negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA adalah sebuah negara yang unik dan menarik, bukan sahaja dari segi geografinya tetapi juga daripada kepelbagaian rakyat, pemerintahan dan perlembagaan.

Terletak di persimpangan penting dunia, iaitu Selat Melaka, malah di apit Sumatera dan Borneo, keunikan geografinya turut melindungi negara ini daripada bencana alam seperti taufan dan gempa bumi, menjadikan Malaysia sebuah bumi yang bertuah. Tambahan pula, Malaysia mempunyai raja teramai di dunia dengan sistem pemerintahan unik di mana sembilan sultan yang bergilir-gilir memerintah negara sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Kemerdekaan negara diperoleh tanpa melalui peperangan, sebaliknya melalui rundingan dan persetujuan yang akhirnya membawa kepada penubuhan Malaysia, selepas kemasukan Sabah dan Sarawak serta Singapura yang akhirnya keluar.

Salah satu peristiwa penting dalam sejarah ini adalah pemberian kerakyatan kepada pekerja migran dari China dan India yang dibawa masuk oleh pihak British pada masa itu.

Keunikan Malaysia juga terletak pada pendekatannya tidak mengamalkan asimilasi seperti negara-negara jiran, seperti Thailand dan Indonesia, yang mengutamakan pengintegrasian budaya tempatan bagi rakyatnya.

Perlembagaan Malaysia adalah satu lagi elemen keunikan negara ini. Ia memberikan hak istimewa kepada Melayu, bumiputera, dan Islam, sementara tetap menghormati dan melindungi hak etnik lain. Hak asasi manusia, kebebasan bersuara serta hak untuk hidup dalam keamanan dan harmoni dilindungi oleh undang-undang yang menjadi tonggak utama dalam kerangka demokrasi Malaysia.

Identiti multirasial Malaysia termaktub dalam perlembagaan. Hak istimewa Melayu, yang ditetapkan melalui perjanjian kemerdekaan dan rundingan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, merupakan sebahagian daripada asas struktur politik negara. Hak-hak ini diiktiraf oleh undang-undang dan berasal daripada perjanjian sejarah yang penting.

Pengiktirafan diberi kepada komuniti bukan Melayu yang menyumbang secara signifikan kepada ekonomi, budaya, masyarakat dan negara. Mereka juga dilindungi oleh undang-undang dalam kerangka undang-undang yang unik ini.

Seperti negara-negara lain, apabila seseorang menjadi sebahagian daripada masyarakat, mereka harus menghormati struktur undang-undang negara tersebut. Sebagai contoh, Jerman dan Sepanyol, walaupun berbilang bangsa, tetap mengekalkan identiti nasional yang berakar pada sejarah, budaya dan etnik mereka. Negara-negara ini tidak mungkin meninggalkan identiti nasional mereka untuk menerima sepenuhnya kerangka multirasial. Begitu juga dengan Malaysia, yang telah membina satu rangka kerja politik dan budaya yang menghormati identiti Melayu sambil merangkumi sumbangan etnik pelbagai, satu elemen yang menjadi sebahagian daripada sejarah dan struktur negara.

Dalam konteks ini, status istimewa untuk Melayu dan bumiputera bukanlah suatu keanehan, tetapi merupakan bahagian yang terinstitusi dalam pendekatan unik negara terhadap multikulturalisme.

Walaupun kepelbagaian etnik diraikan, negara ini mempunyai dasar yang memastikan kerangka Melayu dan Islam terus dihormati, sambil menawarkan peluang kepada semua warganegara untuk berkembang dalam kerangka undang-undang negara.

Sama seperti negara-negara lain yang mengekalkan keutuhan budaya dan sejarah mereka, peruntukan khas Malaysia untuk Melayu adalah terbenam dalam identiti nasional negara, mencerminkan keseimbangan unik antara hak etnik dan perpaduan nasional.-UTUSAN

AZMAN MOHD. HASHIM
Ahli Majlis Proklamasi Orang Melayu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN