BARU-BARU ‘keluar’ satu pekeling baharu oleh Kementerian Pendidikan untuk mewajibkan setiap murid atau pelajar memakai lencana Jalur Gemilang mulai 21 April ini.
Kami menyambut usaha Kementerian Pendidikan keseragaman pemakaian harian sekolah. Namun begitu, pada hemat kami banyak cara lain yang boleh menyemai atau memupuk kesedaran untuk pelajar menjiwai semangat patriotik atau kebangsaan tanpa menyentuh etika pakaian pelajar atau peraturan yang sedia ada di setiap sekolah bawah kementerian tersebut.
Walaupun ia tidaklah membebankan pelajar atau waris tetapi langkah yang dianggap kurang populis tersebut sangat tidak praktikal bahkan tidak relevan sama sekali dengan iklim perubahan persekolahan. Bahkan pelajar hanya memakai uniform sekolah sebanyak dua hari sahaja dalam seminggu.
Bukankah lebih baik diperkenalkan satu kurikulum baharu yang menjadi nilai tambah kepada pengukuhan siasah pelajar berbanding diarah supaya menyematkan lencana Jalur Gemilang.
Contohnya bagi mata pelajaran sivik boleh diperkenalkan semula. Antara lain ia dapat memupuk kesedaran sivik dalam kalangan murid atau pelajar yang bermula dari rumah.
Sepatutnya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek lebih mengutamakan pengukuhan sahsiah pelajar menerusi latihan dan amali disamping menambahbaik struktur kurikulum dan pembelajaran bukannya melaksanakan sesuatu perkara yang tidak menjadi keutamaan kepada seseorang pelajar.
Tindakan menteri pendidikan itu dilihat seolah-olah beliau ketandusan idea malah bersikap kurang teliti dan terburu-buru tanpa memikirkan kesan akibatnya tatkala guru-guru di kebanyakan sekolah termasuk pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) didakwa tidak lagi menyokong dasar dan polisi Kementerian Pendidikan.
Kita tidak mahu mengulangi apa yang pernah menimpa bekas Menteri Pendidikan, Prof. Dr. Maszlee Malik yang memperkenalkan kasut hitam. Ketika itu beliau menerima kecaman daripada pelbagai pihak.
Saya berpendapat untuk menerbitkan semangat patriotik dalam jiwa pelajar sekolah memadai menerusi kegiatan seni dan kebudayaan termasuk aktiviti kesukanan.-UTUSAN
PEMERHATI BEBAS POLITIK
Pulau Pinang










