KUALA Lumpur berubah menjadi seperti sebuah kota di Asia Selatan ketika cuti hari minggu dan cuti panjang raya. Bilangan pekerja migran ketika ini melebihi 2.3 juta orang.
Contohnya daripada Bangladesh sudah hampir 900,000 orang. Itu belum ditambah 18,000 pekerja Bangladesh yang akan dibawa masuk lagi.
Jumlah pekerja Asia Selatan yang terlalu ramai memberi risiko dominasi ekonomi kerana mereka suka berniaga.
Kehadiran migran Asia Selatan dalam sektor runcit, binaan dan pertanian bukan lagi sekadar pekerja tetapi sudah jadi tauke besar sementara pengusaha tempatan terpaksa berundur kalah bersaing.
Golongan migran ini ada kelebihan dalam berniaga, ada modal besar dan sumber tenaga kerja yang ramai daripada syarikat ejen pembekal pekerja asing daripada rakan senegara. Sukar untuk pengusaha warganegara untuk bertahan.
Ambil contoh dominasi warga Bangladesh dalam sektor ladang sayur dan pajak tanah. Tahun ini sudah ada ladang sayur haram di Teluk Panglima Garang , Selangor digempur Jabatan Imigresen Malaysia.
Di sektor binaan pula, sudah ada pekerja asing Bangladesh dan Pakistan menjadi subkontraktor, sedangkan kontraktor bumi makin suram.
Oleh itu, kerajaan perlu menetapkan had siling pekerja asing Asia Selatan supaya tidak lepasi ambang tertentu (sebagai contoh, Bangladesh dan Nepal tidak boleh lepasi 500,000 orang bekerja dalam negara pada satu-satu masa).
Selain itu, perlu henti sementara membawa masuk pekerja dari rantau Asia Selatan seperti Bangladesh dan Pakistan. Mereka cepat menghidu peluang untuk berniaga serta bernikah dengan wanita tempatan.
Sebaliknya, lebih baik ambil pekerja rantau ASEAN termasuk dari Timor Leste sebagai alternatif. Pada masa sama tingkat peluang pekerja tempatan untuk menggantikan pekerja asing.-UTUSAN
MOHD. ZUL
Kuala Lumpur










