WALAUPUN tiada peruntukkan undang-undang khusus mengenai tatacara penggunaan dan pengibaran bendera Jalur Gemilang, pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) menetapkan garis panduan agar penggunaan bendera Jalur Gemilang sentiasa dihormati oleh setiap pihak dalam negara.
Antara garis panduan yang ditetapkan ialah bendera terbabit hendaklah dipasang secara melintang sahaja. Ia tidak boleh dipasang secara menegak sekiranya berkedudukan statik atau tidak berkibar.
Walau bagaimanapun dibolehkan memasang secara menegak sekiranya bendera disambung dalam kuantiti yang banyak (flagline).
Orang ramai juga tidak boleh menggunakan bendera terbabit dalam perkara yang boleh ditafsirkan sebagai merendahkan martabat bendera Jalur Gemilang seperti dengan menjadikannya sebagai alas meja, kain tudung, payung, songkok, topi, tuala mandi, alas kusyen dan sebagainya.
Penggunaan bendera terbabit dalam pelbagai gaya dan bentuk seperti iklan dalam tujuan mempromosi sambutan bulan kemerdekaan adalah dibenarkan asalkan kreativiti tersebut tidak ditafsirkan sebagai menghina bendera Jalur Gemilang.
Mengibarkan Jalur Gemilang yang uzur seperti bendera yang pudar warna dan koyak adalah satu kesalahan atau satu bentuk ketidakwajaran.
Bendera kebanggaan negara kita perlu dijaga dan dikibarkan dengan baik, sempurna serta dengan penuh rasa hormat pada setiap masa.
Pihak berkuasa yang berkaitan perlu mengambil tindakan yang lebih tegas melalui segala peruntukkan undang-undang sedia ada terhadap mana-mana individu atau organisasi yang dilihat tidak menghormati proses penggunaan atau pengibaran bendera negara seperti yang termaktub dibawah Kanun Keseksaan, Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.-UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










