BUKU teks merupakan sumber ilmu utama dalam sistem pendidikan. Ia bukan sekadar helaian kertas bertulis, tetapi sebuah khazanah ilmu yang dirangkum untuk membantu pelajar memahami konsep-konsep akademik dengan lebih mendalam.
Buku teks berperanan sebagai panduan utama dalam pembelajaran di sekolah, ia disusun berdasarkan silibus yang ditetapkan Kementerian Pendidikan. Dengan adanya buku teks, pelajar dapat mengakses maklumat yang relevan dengan sukatan pelajaran, sekali gus membantu memahami subjek yang dipelajari dengan lebih sistematik.
Namun, dalam era digital ini, segelintir pelajar cenderung mengabaikan kepentingan buku teks kerana mereka lebih tertarik kepada sumber dalam talian. Walaupun teknologi mempunyai peranannya yang tersendiri, buku teks tetap menjadi asas yang perlu dihargai oleh setiap pelajar.
Menghargai buku teks bukan sekadar menjaga fizikalnya agar tidak rosak, tetapi juga merujuk kepada sikap menghormati ilmu yang terkandung di dalamnya. Terdapat pelajar yang tidak mengambil berat tentang keadaan buku teks, malah ada yang mencoret-coret, mengoyak atau membiarkan buku tersebut dalam keadaan lusuh dan tidak terurus.
Sikap ini menunjukkan kurangnya kesedaran tentang nilai sebuah buku teks. Jika dibandingkan dengan zaman dahulu, yang mana buku amat sukar diperoleh dan hanya segelintir orang yang berpeluang untuk belajar, kita seharusnya bersyukur kerana mempunyai akses mudah kepada bahan pembelajaran yang berkualiti.
Pelajar perlu menyedari setiap helaian dalam buku teks adalah hasil usaha para penulis, penyelidik dan pendidik yang menghabiskan masa dan tenaga untuk menyusun maklumat dengan cara yang paling mudah difahami.
Selain itu, buku teks juga mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Buku teks yang digunakan oleh pelajar biasanya diperoleh secara percuma melalui sistem pinjaman buku sekolah.
Setiap tahun, kerajaan membelanjakan jutaan ringgit untuk memastikan semua pelajar mempunyai buku teks yang mencukupi bagi setiap mata pelajaran.
Jika pelajar tidak menjaga buku teks dengan baik, kerajaan perlu menggantikan buku yang rosak atau hilang, yang akhirnya membawa kepada pembaziran wang rakyat.
Sebaliknya, jika pelajar menjaga buku teks mereka dengan baik, buku-buku tersebut boleh digunakan semula oleh generasi seterusnya, sekali gus mengurangkan kos pembelian buku baharu.
Hal ini juga sejajar dengan amalan lestari yang mengurangkan penggunaan kertas dan menyelamatkan lebih banyak pokok daripada ditebang untuk pembuatan buku.
Dalam aspek akademik, menghargai buku teks bermakna menggunakannya dengan cara yang betul untuk meningkatkan pemahaman terhadap sesuatu subjek.
Buku teks bukan sekadar alat untuk menyelesaikan kerja rumah, tetapi juga sumber yang dapat membantu pelajar mengukuhkan pengetahuan mereka. Apabila pelajar menghormati buku teks, mereka akan lebih cenderung untuk membaca, memahami dan membuat catatan yang berguna di dalamnya.
Di samping itu, menghargai buku teks juga mencerminkan penghormatan terhadap ilmu dan para pendidik. Buku teks yang digunakan di sekolah adalah hasil kerja keras para guru dan pakar dalam bidang pendidikan.
Setiap maklumat yang terkandung dalam buku teks telah dikaji, disusun dan disaring untuk memastikan pelajar mendapat bahan yang paling relevan dan bermanfaat.
Oleh itu, apabila pelajar menghormati buku teks, mereka secara tidak langsung menunjukkan penghargaan terhadap usaha para guru dan pakar pendidikan.
Mereka memahami bahawa ilmu yang terkandung dalam buku tersebut bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan, sebaliknya perlu dihormati dan digunakan sebaik mungkin. – UTUSAN
AZIZUL ASYRAF MD HELMI
SMK Dato Sulaiman, Parit Sulong, Johor










