Guru sekolah menengah berdepan cabaran pemansuhan UPSR

Guru sekolah menengah berdepan cabaran pemansuhan UPSR

PENDIDIKAN yang berkualiti adalah asas kepada kemajuan sesebuah negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMANSUHAN Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2021 mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan guru, ibu bapa dan pemerhati pendidikan di Malaysia.

Langkah ini diambil bagi memberi tumpuan kepada perkembangan holistik murid melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai kaedah utama penilaian pencapaian akademik. Namun, sejak pemansuhan ini, pelbagai isu timbul membelenggu pendidikan sekolah rendah, khususnya dalam aspek keberkesanan pengajaran guru serta tahap penguasaan asas pelajar dalam membaca, menulis dan mengira (3M). Lebih membimbangkan, ketiadaan sistem penilaian berpusat menimbulkan cabaran besar dalam memastikan pelajar benar-benar bersedia untuk melangkah ke sekolah menengah, terutamanya di kawasan luar bandar dan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

Murid kini bergantung sepenuhnya kepada penilaian guru melalui PBD, yang sepatutnya membantu mengukur pencapaian mereka secara lebih menyeluruh. Namun, pelaksanaan sistem itu di sekolah rendah, khususnya di kawasan luar bandar dan SJKC, menghadapi pelbagai kekangan. Antara cabaran utama ialah perbezaan pendekatan dalam menilai murid antara sekolah yang berlainan, menyebabkan jurang pencapaian semakin melebar.

Pelaksanaan PBD sebagai pengganti UPSR sepatutnya membantu murid belajar secara lebih fleksibel tanpa tekanan peperiksaan. Namun, di kebanyakan sekolah luar bandar dan SJKC, pelaksanaan PBD tidak berjalan dengan lancar. Sesetengah guru kurang jelas tentang kaedah pelaksanaannya yang efektif, menyebabkan mereka sekadar menjalankan penilaian sebagai satu formaliti tanpa benar-benar menilai pencapaian sebenar pelajar.

Lebih membimbangkan, ibu bapa juga mengalami kesukaran untuk memahami sistem ini kerana tiada pemarkahan yang jelas seperti dalam peperiksaan konvensional. Akibatnya, mereka tidak dapat menilai dengan tepat sejauh mana perkembangan anak dalam pembelajaran. Ada ibu bapa yang beranggapan anak mereka berada dalam prestasi yang baik hanya kerana lulus dalam PBD, sedangkan hakikatnya tahap penguasaan mereka masih lemah.

Selain itu, ramai guru baharu juga tidak jelas dengan format pembelajaran, terutama bagi subjek penting yang wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti Bahasa Melayu, Matematik dan Sejarah. Kurangnya pendedahan kepada format peperiksaan ini menyebabkan ramai pelajar gagal memahami kepentingan setiap subjek sejak peringkat sekolah rendah lagi.

Kesan daripada isu-isu ini, semakin ramai pelajar memasuki sekolah menengah dengan tahap kemahiran asas yang lemah. Ini membawa kepada pelbagai cabaran, termasuk kesukaran dalam memahami subjek akademik yang lebih kompleks dan kurangnya keyakinan diri dalam pembelajaran.
Guru sekolah menengah kini berhadapan dengan situasi di mana mereka terpaksa meluangkan lebih banyak masa untuk mengajar semula konsep asas yang sepatutnya dikuasai di sekolah rendah. Ini bukan sahaja membebankan guru, tetapi juga melambatkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

Keadaan ini boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kadar keciciran pelajar di peringkat sekolah menengah.

Bagi menangani isu ini, Jemaah Nazir Pendidikan perlu turun padang dan memantau secara lebih ketat kualiti pengajaran di sekolah rendah. Pemantauan ini penting bagi memastikan PBD dilaksanakan dengan betul dan bukan sekadar satu proses dokumentasi tanpa impak sebenar kepada murid. Selain itu, latihan intensif perlu diberikan kepada guru baharu agar mereka lebih bersedia dalam mengajar dan memahami keperluan pelajar dengan lebih baik.

Jika masalah ini tidak ditangani segera, kita bakal berdepan dengan generasi pelajar yang lemah dalam asas pembelajaran, seterusnya memberi kesan negatif kepada sistem pendidikan dan daya saing negara dalam jangka masa panjang.-UTUSAN

MDM LYEZA
Parit Sulong, Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya