PERTANDINGAN dwitahunan ArtScience Prize anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini telah dibuka bermula 20 Mac hingga 20 Mei 2025. ArtScience Prize 2025 menjemput bakat-bakat tempatan untuk mencipta karya seni yang memartabat serta memajukan kehidupan manusia melalui pendekatan disiplin sains dan seni.
ArtScience Prize 2025 membawa tema ‘Mengubah Masa Depan Seni: Penyatuan AI dan Kelestarian’ yang menggalakkan artis dan saintis untuk mendalami teknologi kecerdasan buatan (AI) dan mampu merevolusikan kelestarian alam.
Penyertaan bagi ArtScience Prize 2025 dibuka kepada semua rakyat Malaysia, sama ada yang menetap di dalam atau di luar negara, secara individu atau berkumpulan Peserta mestilah berumur 18 tahun ke atas dan setiap peserta hanya boleh menghantar satu penyertaan. Semua bentuk media termasuk lukisan, arca, video, media baharu dan persembahan adalah diterima sehingga 20 Mei 2025 sahaja. Penghantaran hasil karya boleh dibuat melalui pautan https://www.akademisains.gov.my/artscience/prize-2025.
Pemenang ArtScience Prize 2025 akan menerima sebuah trofi dan wang tunai berjumlah RM20,000. Penerima Anugerah Bintang Baharu akan membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000. Pemenang Anugerah Pilihan Ramai akan menerima sebuah trofi dan wang tunai berjumlah RM5,000 dan dua orang peserta peringkat akhir akan menerima wang tunai berjumlah RM2,500.
Selain itu, geran sokongan ASM ArtScience Travel Fellowship berjumlah RM5,000 akan dianugerahkan kepada pemenang dan penerima Anugerah Bintang Baharu. ArtScience Prize 2025 menawarkan peluang yang julung-julung kalinya kepada artis dan saintis di Malaysia untuk mempamerkan karya yang mencerminkan masa depan inovasi dan seni. Sila layari laman web rasmi ArtScience di pautan https://www.akademisains.gov.my/artscience/. – UTUSAN
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
Putrajaya










