Fenomena narsisisme digital kian membimbangkan

Fenomena narsisisme digital kian membimbangkan

KETAGIHAN terhadap respons positif di media sosial boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia yang semakin berpusatkan teknologi ini, satu fenomena yang semakin ketara ialah narsisisme digital iaitu kecenderungan untuk berlebihan dalam menonjolkan diri secara dalam talian demi perhatian dan pengiktirafan sosial.

Walaupun tidak dikategorikan sebagai gangguan mental secara rasmi, narsisisme digital merupakan refleksi budaya yang menekankan nilai diri berdasarkan jumlah ‘suka’, ‘tontonan’, dan pengikut di media sosial. Fenomena ini bukan sahaja memberi kesan kepada kesejahteraan emosi, malah turut mempengaruhi hubungan sosial serta pembentukan harga diri, khususnya dalam kalangan generasi muda yang lebih terdedah kepada penggunaan teknologi dan pengaruh rakan sebaya.

Fenomena ini juga dikaitkan dengan pembentukan identiti maya yang idealistik iaitu pengguna hanya berkongsi aspek positif atau ‘sempurna’ dalam kehidupan, sambil menyorokkan kelemahan dan cabaran sebenar. Hal ini boleh membawa kepada pemalsuan imej peribadi dan tekanan dalaman untuk sentiasa kelihatan hebat di mata orang lain sama ada secara fizikal ataupun sekurang-kurangnya di alam maya yang jauh dari realiti sebenar.

Ketagihan terhadap respons positif boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental. Kajian menunjukkan individu yang terlalu bergantung kepada maklum balas pengguna media sosial lebih cenderung mengalami tekanan, keresahan dan rendah diri terutamanya apabila kandungan yang dikongsi tidak mendapat sambutan yang diharapkan.

Apabila identiti seseorang terlalu terikat dengan imej dalam talian, kekurangan perhatian atau pengiktirafan boleh menyebabkan mereka berasa tidak dihargai dan terpinggir, lalu memberi kesan kepada kestabilan emosi. Ini akan mengakibatkan mereka bergelut dengan perasaan sendiri dan juga bagaimana untuk mengawal lonjakan emosi.

Golongan dewasa turut terlibat dalam penciptaan imej ideal di media sosial sama ada melalui perkongsian kejayaan profesional, gaya hidup eksklusif atau pencapaian peribadi. Keinginan untuk mendapat pengesahan sosial ternyata adalah sifat semula jadi manusia, namun apabila menjadi kebergantungan, ia boleh mendatangkan risiko jangka panjang yang mengganggu kesejahteraan diri.

Menghapuskan media sosial bukanlah penyelesaian terbaik, namun membina hubungan yang sihat dengan platform digital adalah kunci utama. Antara langkah yang boleh diambil seperti nilai semula niat perkongsian, amalkan kesedaran diri, bersikap autentik dan elakkan perbandingan tidak realistik.

Ingatlah media sosial hanya menunjukkan sorotan terbaik kehidupan seseorang, bukan keseluruhan cerita. Bandingkan diri dengan pencapaian peribadi, bukan kehidupan orang lain. Ini lebih bermakna dan realistik.-UTUSAN

PROFESOR DR. NOOR ISMAWATI JAAFAR
Jabatan Sains Pemutusan,
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi,
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN