Dalamilah sejarah demi perkukuh jati diri bangsa

Dalamilah sejarah demi perkukuh jati diri bangsa

KITA bertanggungjawab belajar daripada sejarah dan memastikan bangsa Melayu tidak lagi dijajah, dalam apa jua bentuk fizikal, ekonomi mahupun ideologi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJARAH sesebuah bangsa amat penting kerana ia membantu kita mendalami dan memahami asal-usul, identiti, budaya serta jati diri.

Melalui sejarah, dapat mengetahui dari mana kita berasal, bagaimana kehidupan nenek moyang dan bagaimana peristiwa masa lalu membentuk bangsa hari ini.

Pemahaman terhadap sejarah membolehkan kita lebih menghargai tradisi, bahasa serta nilai-nilai yang membentuk diri sebagai individu dan sebagai masyarakat. Sejarah juga mengajar tentang kesilapan masa lalu, agar ia tidak diulangi dan supaya kita dapat membuat keputusan yang lebih bijak demi memastikan keutuhan bangsa pada masa hadapan.

Kejadian masa lalu membentuk kehidupan kita sebagai satu bangsa hari ini. Memahami sejarah membantu melihat bagaimana bangsa kita berkembang dari sudut pemerintahan, ekonomi dan hubungan antarabangsa.

Mengetahui sejarah perjuangan bangsa akan menanamkan rasa bangga terhadap warisan bangsa serta memperkukuhkan jati diri.

Untuk memastikan warisan bangsa terus terpelihara, kita harus mendalami dan mempelajari sejarah bangsa. Budaya dan bahasa harus terus dimajukan agar kekayaannya dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu dipelihara dan dikembangkan sehingga mencapai status bahasa serantau. Ini kerana bahasa adalah jiwa bangsa.

Kajian terhadap kegemilangan Empayar Melayu lama yang menjangkau seluruh Asia Tenggara perlu diperluaskan. Ini penting agar anak cucu kita sentiasa berbangga dengan kejayaan bangsa dan dapat mencontohi pencapaian tersebut, bukan dengan menjajah, tetapi dengan membina sebuah bangsa yang dihormati melalui keunggulan ekonomi dan daya saing global.

Mempertahankan legasi kegemilangan bangsa serta memastikan kesilapan lalu tidak berulang adalah tanggungjawab kita, khususnya generasi muda. Sejarah menyaksikan bangsa Melayu dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan Siam.

Kita juga hampir kehilangan kedaulatan menerusi gagasan Malayan Union, namun diselamatkan oleh penyatuan orang Melayu yang berjaya menolak usaha tersebut.

Tanggungjawab kita hari ini adalah untuk belajar daripada sejarah dan memastikan bangsa Melayu tidak lagi dijajah dalam apa jua bentuk fizikal, ekonomi mahupun ideologi.

Jangan sampai generasi kita dikenang dalam sejarah sebagai era yang menyebabkan bangsa Melayu kehilangan tanah airnya sendiri.-UTUSAN

AZMAN MOHD. HASHIM
Ahli Majlis Proklamasi Orang Melayu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN