Betulkan persepsi terhadap pegawai penguatkuasa

Betulkan persepsi terhadap pegawai penguatkuasa

PERANAN dalam mengharmonikan semula hubungan benci ini wajar dikembalikan semula kepada warganet.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKITAR awal Ramadan lalu, tular di media sosial, seorang wanita tempatan didenda sebanyak RM3,000 oleh mahkamah kerana menghalang pegawai awam serta bertindak agresif dengan menggigit seorang penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam kejadian berasingan pula, tiga lelaki tempatan berusia antara 15 dan 39 tahun dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya atas dakwaan yang sama.

Dalam minggu terakhir umat Islam di negara ini sedang bersiap menyambut Syawal, sudah tentu para peniaga kecil juga tidak melepaskan peluang meraih sedikit keuntungan bagi mengisi kantung raya. Namun, media dikejutkan pula dengan insiden pergaduhan yang membawa kepada kejadian tumbuk-menumbuk antara sekumpulan peniaga kecil dengan sepasukan penguatkuasa DBKL seperti yang tular dalam platform X.

Peristiwa yang melibatkan anggota penguatkuasa diserang penjaja tidak berlesen, bukan suatu yang asing.

Konflik ini, hanya menatijahkan hukuman dikenakan ke atas pesalah bagi kesalahan Seksyen 186 dan 153 Kanun Keseksaan kerana menghalang serta menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam menjalankan tugas. Hukuman ini tidak sekadar gagal menghentikan konflik, bahkan seakan melebarkan lagi jurang hubungan antara kedua-dua kelompok tersebut.

Persoalannya, siapa sebenarnya pencetus ketegangan antara dua kelompok ini? Siapa pula yang harus bertanggungjawab dalam usaha mengharmonikan semula hubungan antara keduanya?

Jika ditelusuri lewat kemunculan media-media sosial di negara ini, pegawai awam sering kali dilabel oleh segelintir warganet sebagai perasuah, kejam dan bersikap pilih kasih. Malah hingga membawa kepada beberapa insiden yang menyentuh garis perkauman.

Sambil tidak menafikan keterlibatan segelintir pegawai penguatkuasa dalam kes-kes yang mencemar integriti penjawat awam, ia sama sekali tidak mewajarkan sikap warganet yang gemar memuatnaik kandungan yang boleh mencetus salah faham dalam kalangan masyarakat.

Lebih malang lagi, kandungan tersebut disulam dengan tohmahan dan kata-kata benci terhadap pegawai penguatkuasa yang jujur menjalankan tanggungjawab.

Justeru, tidak keterlaluan untuk mengandaikan sikap ini merupakan asuhan warganet sejak bertahun-tahun, yang secara tidak sedar membiakkan perseteruan antara dua kelas sosial tersebut. Sikap tidak bertanggungjawab ini juga yang membunuh keharmonian hubungan antara rakyat dan kerajaan secara am.

Sikap ini, tidak hanya menyukarkan aktiviti penguatkuasaan, bahkan hingga dibawa ke peringkat pembuatan dasar dan undang-undang di negara ini.

Oleh yang demikian, peranan dalam mengharmonikan semula hubungan benci ini wajar dikembalikan semula kepada warganet. Barangkali ini sebagai bentuk ‘hukuman’ ke atas mereka yang mungkin selama ini telah mengasuh minda awam hingga menaruh sikap syak dan wasangka keterlaluan kepada penjawat awam.

Usaha ini harus dinoktahkan segera melalui pendekatan secara langsung dan berstrategik antara pempengaruh politik di media soal dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Usaha ini tidak sekadar mengharapkan pemulihan imej serta kepercayaan rakyat terhadap institusi dan penjawat awam, malah diharapkan juga mampu mencelikkan rakyat akan kepentingan pematuhan undang-undang tanpa perlu ditanggapi dengan hukuman dan kekerasan.-UTUSAN

AMIR AL FATEH
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN