Bangkit bersuara demi keamanan Gaza

Bangkit bersuara demi keamanan Gaza

JIKA ada undang-undang antarabangsa, bertindaklah segera, tangkap dan heret mereka yang melakukan keganasan dengan kejam ke mahkamah antarabangsa untuk dibuat pengadilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA amat kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Fu Chong dalam membela nasib rakyat Palestin yang diancam Israel.

Katanya, China menyuarakan kebimbangan serius terhadap pengumuman Israel baru-baru ini yang bertujuan memperluas operasi tentera darat serta menduduki dan mendesak Israel menghentikan tindakan ketenteraan terhadap Gaza.

Dalam dunia yang bertamadun sekarang, kenapa masih ada pihak seperti tiada langsung erti kemanusiaan dengan membiarkan rakyat Palestin kelaparan dan hidup serba melarat tidak menentu.

Apabila tentera Israel melakukan keganasan ke atas rakyat Palestin, seolah-olah dunia membisu terutama dari negara-negara kuasa besar.

Apakah kini dunia sudah tidak ada undang-undang apabila membiarkan pihak lebih kuat bertindak sewenang-wenang ke atas rakyat dalam sebuah negara yang lemah?

Jika ada undang-undang antarabangsa, bertindaklah segera, tangkap dan heret mereka yang melakukan keganasan dengan kejam ke mahkamah antarabangsa untuk dibuat pengadilan.

Memang benar sebagaimana dikatakan oleh Fu Chong, tindakan tulen perlu diambil untuk memulihkan akses barangan kemanusiaan ke Gaza dan menghentikan sebarang serangan terhadap pekerja kemanusiaan.

Lebih penting adalah penyelesaian dua negara merupakan satu-satunya cara untuk menyelesaikan isu Palestin.

Saya amat kagum dengan ketegasan Fu Chong bahawa Gaza, tebing barat Sungai Jordan, dan Baitulmaqdis Timur merupakan wilayah yang tidak boleh dipisahkan daripada negara Palestin.

Beliau menegaskan China menentang sebarang rancangan yang mahu memindahkan secara paksa penduduk Gaza dan sebarang percubaan untuk menakluki wilayah Gaza atau Tebing Barat.

Semoga lebih banyak negara-negara lain senada dengan wakil China tersebut kerana dalam zaman sekarang, tidak seharusnya ada lagi negara menjadi penjajah dan ada negara yang dijajah.-UTUSAN

RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN