ISTILAH mesra Muslim dan bebas daging babi tidak dapat dianggap sebagai jaminan sesuatu premis makanan mematuhi prinsip-prinsip halal. Walaupun kedua-dua istilah ini memberi petunjuk kepada pelanggan Muslim atau mematuhi beberapa garis panduan halal, namun tiada badan yang berwibawa yang mengesahkan secara rasmi status halal premis tersebut.
Dalam kes bebas daging babi, restoran mungkin menyatakan tidak menyediakan daging babi, tetapi ia tidak bermakna bahan lain yang digunakan dijamin halal. Begitu juga dengan mesra Muslim, ia hanya memberi indikasi premis tersebut cuba mesra dengan pelanggan Muslim, namun tidak ada pengesahan rasmi berhubung kesahihan status halal makanan di premis tersebut.
Berbeza dengan restoran yang memperoleh sijil halal, premis makanan yang berstatus halal diiktiraf oleh pihak berkuasa berwibawa, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), yang bertindak mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 melalui Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
Untuk mendapatkan sijil halal, premis makanan perlu melalui proses yang ketat. Pihak restoran diwajibkan untuk mengisytiharkan semua bahan mentah yang digunakan dalam penyediaan makanan mereka.
Di samping itu, setiap premis perlu menjalani audit yang teliti, di mana pihak berkuasa berwibawa, seperti JAKIM atau Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)/JAIN, akan turun untuk memeriksa keseluruhan operasi restoran termasuk kebersihan, sumber bahan mentah dan kepatuhan terhadap prosedur yang ditetapkan.
Proses pensijilan halal ini bukan sahaja memberi keyakinan kepada pengguna Muslim bahawa makanan yang mereka makan adalah patuh syariah, tetapi juga memastikan keseluruhan ekosistem pemprosesan makanan itu mematuhi syarat-syarat Islam. Ini termasuk penggunaan bahan-bahan yang disahkan halal dan mematuhi prosedur penyembelihan yang sah menurut syariah. Oleh itu, pensijilan halal bukan sahaja satu prosedur pentadbiran, tetapi juga langkah penting untuk melindungi hak-hak pengguna dan memastikan kepatuhan terhadap syariah.
Sebaliknya, premis yang menggunakan istilah mesra Muslim dan bebas daging babi hanya bergantung pada pengisytiharan pihak restoran tanpa sebarang pengesahan daripada badan berkuasa.
Ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana premis tersebut benar-benar mematuhi standard halal yang ditetapkan. Tanpa pengesahan rasmi, tidak ada jaminan bahan yang digunakan bebas daripada bahan haram atau disediakan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh syariah.
Kepentingan pensijilan halal sangat jelas. Ia bukan sahaja memberikan perlindungan kepada pengguna Muslim, tetapi juga memastikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan memenuhi standard yang tinggi dari segi keselamatan dan kualiti.
Selain itu, pensijilan halal juga memberi peluang kepada pemilik perniagaan untuk menjangkau pasaran lebih luas. Ini khusus bagi mereka untuk menarik pelanggan Muslim yang mengutamakan kehalalan dalam pemilihan makanan.
Sebagai pengguna, kita perlu bijak dalam membuat pilihan dan tidak hanya bergantung pada istilah-istilah seperti mesra Muslim dan bebas daging babi tanpa pengesahan yang jelas.
Pensijilan halal adalah satu langkah yang perlu untuk memastikan kepatuhan syariah dan juga melindungi hak pengguna Muslim di Malaysia.-UTUSAN
DR. NOR AINA MHD. KHOTIB
Institut Pengurusan Halal,
Pusat Pengajian Perniagaan Islam
Universiti Utara Malaysia (UUM)










