SEIRING dengan kemajuan negara serta perkembangan pesat teknologi maklumat, termasuk era kecerdasan buatan (AI), pemikiran orang Melayu juga semakin terbuka. Namun, semakin ramai anak muda mula mempertikaikan kedudukan istimewa orang Melayu dan keutamaan agama Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Keterbukaan minda sering dikaitkan dengan kebijaksanaan dan kemajuan. Namun, apabila ia digunakan tanpa asas yang kukuh, ia boleh membawa kepada keputusan yang salah dan akibat yang tidak diingini.
Bahayanya timbul apabila keterbukaan diterjemahkan sebagai penerimaan tanpa batas di mana sesuatu keputusan kelihatan inklusif dan terbuka, tetapi sebenarnya berpunca daripada kejahilan dan kekurangan pertimbangan jangka panjang.
Sepanjang sejarah, banyak keputusan yang kelihatan seperti hasil pemikiran terbuka akhirnya membawa padah. Contoh, dalam dunia politik, pemimpin yang terlalu bertolak ansur dengan pihak agresif atas nama keamanan akhirnya hanya menggalakkan lebih banyak pencerobohan. Begitu juga dalam bidang ekonomi, dasar keterbukaan yang melampau tanpa kawalan menyebabkan ketidakstabilan pasaran dan krisis kewangan.
Satu lagi bentuk keterbukaan yang boleh bertukar menjadi kejahilan ialah apabila toleransi berubah menjadi kelonggaran yang melampau. Contoh, dalam usaha menerima semua pandangan secara terbuka, ada pihak yang mencadangkan kesamarataan hak di Tanah Melayu sehingga sanggup merelakan pemansuhan kedudukan istimewa orang Melayu. Akibatnya, dalam jangka panjang, orang Melayu akan mengalami kerugian yang kekal dan kehilangan identiti di tanah air sendiri.
Keterbukaan minda yang sebenar bukanlah tentang menerima semua pandangan secara sama rata, tetapi menilai setiap idea berdasarkan logik, bukti, sejarah dan kesan jangka panjang. Kegagalan untuk berbuat demikian menjadikan keterbukaan itu satu bentuk kejahilan yang terselindung. Ia kelihatan bijak pada zahirnya, tetapi membawa kehancuran akhirnya.
Maka, kepada generasi muda, pelajarilah sejarah dan fahamilah mengapa datuk moyang kita memaktubkan kedudukan istimewa orang Melayu serta keutamaan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Keputusan ini bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, tetapi merupakan persetujuan yang telah dicapai oleh pemimpin Melayu, Cina, dan India semasa kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Sebagai generasi pewaris, adalah tanggungjawab kita untuk mempertahankan hak ini dan memastikan Tanah Melayu terus ditadbir oleh orang Melayu. Janganlah terperangkap dalam kejahilan yang berselindung di sebalik keterbukaan minda sehingga merugikan bangsa dan agama kita sendiri.-UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM
Ahli Majlis Proklamasi Orang Melayu










