Tarif Trump mengancam ASEAN, tindakan segera diperlukan

Tarif Trump mengancam ASEAN, tindakan segera diperlukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDEKATAN pentadbiran Amerika Syarikat (AS) terhadap tarif mempunyai implikasi jangka panjang yang ketara bagi ASEAN.

Di bawah pimpinan Presiden Donald Trump, kenaikan tarif mencetuskan kebimbangan mengenai perang dagang, secara langsung mewujudkan ketidaktentuan dalam pasaran global.

Tambahan pula, kenyataan terbarunya mengenai hasrat untuk mengambil ahli Gaza dan melabelkan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky sebagai seorang ‘diktator’ menarik reaksi daripada negara sekutu dan berkecuali.

Kini, pentas dunia berada di persimpangan kritikal dan ASEAN perlu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap perdagangan dan bukan mengharapkan dasar sebelum Trump dikembalikan dalam masa yang terdekat, dengan peraturan dagangan baharu yang setanding.

Konsep mengembalikan industri semula ke AS adalah lebih rumit yang dijangkakan oleh Trump kerana sektor-sektor ini sudah pun sebati dalam rantaian bekalan global. Industri ini berkembang kerana kos buruh yang berpatutan dan rantaian bekalan yang mantap, menjadikan pemindahan operasi lebih mahal dan tidak efisien.

Walaupun ASEAN tidak disasar secara langsung, peningkatan perlindungan perdagangan AS tetap mengancam peranan negara-negara ASEAN dalam rantaian bekalan global.

Ekonomi Malaysia berdepan dengan pertumbuhan yang perlahan disebabkan kelemahan dalam sektor perbuatan, pertanian dan perlombongan, yang dikompaun oleh tarif AS dan permintaan rendah dari China.

Walaupun ASEAN perlu memberi tumpuan kepada memperkukuh hubungan serantau dan mempelbagaikan rakan dagangan, ia juga penting untuk berinteraksi secara langsung dengan AS melalui diplomasi ekonomi yang konstruktif.

ASEAN boleh memperjuangkan pengecualian tarif khusus bagi sektor tertentu dengan menekankan manfaat bersama dalam hubungan perdagangan sedia ada. Menubuhkan dialog berkala antara menteri perdagangan ASEAN dan penggubal dasar AS dapat membantu mengenal pasti bidang kerjasama serta mengurangkan ketegangan.

Selain itu, dengan menonjolkan peranan ASEAN dalam rantaian bekalan global sebagai rakan utama dalam pengeluaran barangan di seluruh dunia, AS mungkin terdorong untuk mengguna pakai dasar perdagangan yang lebih fleksibel. Dengan mengekalkan saluran komunikasi yang terbuka dan memupuk pemahaman bersama, ASEAN dapat melindungi kepentingan ekonominya sambil mengekalkan hubungan yang kukuh dengan salah satu rakan dagang terpentingnya.

Sektor pembuatan adalah usaha global, tiada satu produk yang diperbuat sepenuhnya dengan komponen dari satu negara sahaja. Dengan cuba membawa pulang industri ke AS, negara itu berisiko mencetuskan reaksi berantai yang boleh menjejaskan bukan sahaja ASEAN tetapi juga ekonominya sendiri.

Pemotongan pengeluaran di China, sekatan eksport terhadap logam seperti tungsten dan molibdenum, serta kelembapan ekonomi akibat tarif telah mengurangkan jumlah eksport ASEAN dengan ketara. Penurunan pengeluaran industri menyebabkan permintaan terhadap bahan mentah dan barangan perantaraan merosot, sekali gus mengganggu industri yang bergantung kepada aliran perdagangan yang stabil.

Cabaran ini menonjolkan kebergantungan ekonomi ASEAN kepada China, justeru menekankan keperluan mendesak untuk mempelbagaikan rakan dagangan, meningkatkan daya tahan rantaian bekalan, dan melabur dalam industri domestik. Kegagalan untuk menyesuaikan diri boleh menyebabkan ketidakstabilan ASEAN yang berpanjangan dan akhirnya merugikan ekonomi AS.

ASEAN bukanlah sasaran utama, tetapi tetap menghadapi kesan ekonomi akibat dasar ini.

Strategi terbaik rantau ini adalah dengan terus menjalinkan hubungan, berinovasi dan mengamalkan diplomasi ekonomi.

Memperkukuh perjanjian perdagangan serantau, mempelbagaikan pasaran dan menerima perdagangan digital akan membantu ASEAN menavigasi landskap yang semakin berubah. Jika AS membina tembok, ASEAN mesti membina jambatan.-UTUSAN

DATUK SERI VIJAY ESWARAN
Pemimpin Pemikiran Asia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN