SEKARANG adalah musim mempelam harumanis di Perlis. Bagi mereka yang berminat untuk makan buah tersebut, boleh datang ke negeri ini dengan harga jualan berpatutan.
Kalau ada yang mengatakan harga buah itu tinggi. Mungkin ada yang tidak mampu membelinya. Itu adalah tanggapan luaran sebagai pembeli.
Namun sebagai penanam buah mempelam harumanis, harga jualan yang mereka letakkan mungkin tidak dapat menampung kos untuk mengusahakannya.
Tinjauan saya mendapati memang benar sebagaimana yang dikatakan oleh para pengusaha tanaman harumanis itu.
Bagi menjaga kualiti buahnya, pelbagai jenis racun dan baja perlu disembur. Tambahan pula pokok dan buah mempelam harumanis menjadi ‘minat’ binatang dan serangga.
Semasa peringkat awal pokok mempelam tersebut berbunga, semua penanam buah itu boleh senyum lebar kerana bunganya terlalu banyak.
Pokok yang selama ini tidak pernah berbunga, tetapi tahun ini ia berbunga.
Bagaimanapun hal sedemikian tidak bertahan lama. Bunga-bunga yang sebelum ini segar menjadi kering dan gugur kerana dimakan serangga.
Akibat ancaman itu menyebabkan ramai penanam mempelam harumanis di Perlis tahun ini tidak dapat pulangan modal dari apa yang mereka usahakan.
Bagaimanapun bagi mereka yang agak bernasib baik boleh juga menjual buah mempelam harumanis walaupun tidak sampai dari jualan yang selalu dihasilkan.
Begitulah nasib para penanam mempelam di Perlis. Ada pokok yang buahnya sudah membesar dan boleh dibalut tetapi dimusnahkan pula oleh kera dan lotong.
Di sinilah memerlukan kesabaran setiap yang terlibat. Bagi mereka yang dapat memungut hasil dan jual, harus bersyukur sebanyak-banyaknya.
Tetapi bagi mereka yang tidak dapat memungut hasil langsung, jangan putus asa dan kecewa. Mungkin tahun ini rezeki bukan untuk mereka.
Paling penting terus berusaha dan berusaha. Mungkin musim akan datang rezeki akan menyebelahi mereka.-UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










