Ramadan, bulan penuh keberkatan, merupakan satu anugerah daripada Allah SWT kepada umat Islam yang menanti dengan penuh pengharapan. Dalam bulan yang suci ini, setiap amal kebajikan yang dilakukan akan digandakan pahalanya, laksana lautan yang tidak bertepi.
Allah menjanjikan ganjaran yang luar biasa bagi mereka yang bersedekah. Rasulullah SAW sendiri adalah insan paling dermawan dan sifat kedermawanan baginda semakin menyerlah apabila menjelang Ramadan. Oleh itu, tidak dapat disangkal, sebaik-baik sedekah adalah yang diberikan di bulan yang penuh rahmat ini.
Al-Quran dan hadis Rasulullah banyak menekankan kepentingan bersedekah, khususnya di bulan Ramadan. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 261:
“Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
Sedekah bukan sekadar amalan kebajikan tetapi pelaburan akhirat yang menjamin pulangan luar biasa. Keberkatan dan keajaiban sedekah boleh dilihat dari beberapa sudut seperti menghapuskan dosa, mendapat keberkatan dalam rezeki, mendapat naugan di Hari Kiamat. melembutkan hati dan menyucikan jiwa.
Untuk memastikan kita mendapat ganjaran yang maksimum daripada amalan sedekah di bulan Ramadan, kita boleh melaksanakannya dengan beberapa cara seperti memberikan makanan kepada orang yang berpuasa, menyumbang kepada mereka yang memerlukan, membantu pembinaan dan pengurusan masjid, menyediakan pakaian dan keperluan Aidilfitri kepada golongan yang kurang berkemampuan supaya mereka dapat merasakan kegembiraan menyambut hari raya seperti orang lain dan menyumbang kepada institusi pendidikan Islam dan pusat tahfiz.
Justeru, marilah kita mengambil peluang ini untuk menjadi insan yang lebih dermawan di bulan yang penuh keberkatan ini. Bersedekahlah dengan ikhlas dan yakinlah setiap kebaikan yang kita lakukan pasti akan mendapat balasan yang jauh lebih besar daripada Allah SWT.
Semoga Ramadan kali ini menjadi titik perubahan dalam kehidupan kita menuju ke arah yang lebih baik dan lebih diberkati.-UTUSAN
MOHD KHAIRULAZMAN ABU BAKAR
Ketua Unit Komunikasi Korpoat,
Politeknik Hulu Terengganu (PHT)









