Rancakkan Tahun Melawat Kedah 2025

Rancakkan Tahun Melawat Kedah 2025

PULAU Langkawi antara lokasi menarik untuk dikunjungi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keunikan alam semula jadi dan warisan budaya masyarakat Kedah sebagai Negeri Jelapang Padi menempatkannya sebagai salah satu lokasi yang sesuai sebagai destinasi pelancongan. Experience Kedah menjadi tema Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025).

Pelbagai program disajikan sepanjang TMK 2025. Diharapkan usaha yang dilaksanakan bagi meletakkan tanda aras baharu dalam pemerkasaan industri pelancongan tempatan dapat direalisasikan.

Sisi unik Kedah perlu dipugar kepada khalayak. Tapak arkeologi Lembah Bujang yang terkenal dengan seni bina dan ukiran pada monumen serta tembikar yang ditemukan membuktikan kehebatan Kerajaan Kedah. Di samping itu, sejarah Perang Musuh Bisik juga perlu diketengahkan kepada umum dalam bentuk yang interaktif.

Gunung Jerai bukan sahaja terkenal dari aspek sejarah, namun sebagai lokasi menarik untuk pengunjung menikmati panorama matahari terbenam. Tidak terkecuali Padang Tok Syeikh, Titi Hayun, Kota Kuala Muda, Masjid Lama Pengkalan Kakap, Bukit Penjara dan Jambatan Merdeka yang perlu dikunjungi.

Pulau Langkawi terkenal dengan legenda Mahsuri manakala sejarah dan mitos yang dikaitkan dengan Puteri Lindungan Bulan serta Raja Bersiung juga menarik. Keindahan pulau yang terletak dalam kawasan Jerai Geopark perlu diterokai kerana kawasan pesisiran pantai dan air laut yang jernih serta membiru. Kompleks Pasar Bisik di Kuala Muda juga perlu dimasukkan dalam agenda lawatan.

Sejarah industri padi boleh dipelajari secara interaktif apabila mengunjungi Muzium Padi di Gunung Keriang. Di samping itu, Muzium Negeri, Muzium Diraja, Balai Nobat dan Masjid Zahir Alor Setar juga menyimpan pelbagai khazanah berharga. Akar budaya masyarakat tempatan menerusi tarian dan permainan juga boleh diketengahkan. Pesta Angin Timur yang bakal menyusul ketika cuaca panas ‘lit lit’’ boleh menjadi salah satu daya tarikan.

Pengunjung juga boleh merasai keenakan hidangan gulai temenung panas di Kuala Kedah atau Kuala Sala dan gulai kawah daging rias pisang. Emping, ringgi, karas, dangai, gedung chak, bunga pudak turut menjadi tarikan di samping belacan tumbuk dari Tanjung Dawai dan pekasam ikan darat.

Sudah pasti Pekan Rabu yang sinonim sebagai salah satu ikonik pelancongan dan pusat aktiviti serta ekonomi orang Melayu tempatan menjadi destinasi terakhir.

Hatta bazar Ramadan juga boleh menjadi sebahagian daya tarikan pelancong disamping keindahan bunga Tecoma menjelang bulan Februari hingga April.

Keunikan masyarakat dalam perspektif sejarah, budaya dan warisan boleh dijadikan faktor penarik dalam menggamit pelancong ke Kedah. Seterusnya ruang pekerjaan baharu boleh diwujudkan bagi menjana ekonomi tempatan dan negara.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHAMED ALI HANIFFA
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN