TARIKH 15 Mac 2025 menyaksikan satu sejarah tercipta dalam dunia pengangkutan awam negara apabila buat pertama kalinya perkhidmatan tren elektrik (ETS) beroperasi sehingga stesen Segamat, Johor.
Meskipun projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru sudah mengalami kelewatan atas pelbagai faktor, perasmian perkhidmatan ETS ke Segamat adalah satu perkara positif menandakan permulaan era baru perkhidmatan kereta api di negeri Johor.
Kini warga Segamat termasuk penuntut institut pengajian tinggi (IPT) dapat menikmati kemudahan pengangkutan antara bandar yang cepat dan selesa. Tidak lupa bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman di Segamat dari Lembah Klang dan utara tanah air mempunyai pilihan pengangkutan baharu terutama menjelang cuti Hari Raya Aidilfitri nanti.
Tren ETS yang bergerak dalam kelajuan operasi 140 km/j dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tandas, kafeteria dan surau memberi keselesaan buat penumpang. Tren yang baharu dibeli iaitu ETS3 bakal memasuki perkhidmatan tidak lama lagi akan menambah kekerapan operasi terutama untuk sektor selatan.
Dicadangkan agar KTMB membuat perolehan lokomotif elektrik supaya koc penumpang KTM Intercity dapat digunakan untuk perjalanan jarak jauh JB Sentral-Padang Besar.
Saya berharap agar kerajaan mengkaji untuk memperluas rangkaian landasan berkembar elektrik ke bandar-bandar utama lain seperti Port Dickson, Melaka dan Teluk Intan dengan membina laluan cabang (spur line) yang baharu bagi menambah baik kemudahan pengangkutan awam dan menggalakkan pelancongan domestik menaiki kereta api. – UTUSAN
Pengguna Pengangkutan Awam
Kuala Lumpur










