Media sosial memberi kebebasan kepada individu untuk menyuarakan pendapat dan berkongsi pandangan. Walau bagaimanapun, tanpa kesedaran dan kepekaan terhadap sensitiviti keagamaan, sesuatu kandungan yang dikongsi boleh mencetuskan perpecahan, kekeliruan dan ketegangan antara komuniti.
Belia perlu memahami apa yang kelihatan ringan atau hiburan di laman sosial mungkin memberi kesan yang mendalam terhadap keharmonian masyarakat, terutamanya dalam konteks keagamaan.
Peranan belia bukan sekadar menjadi pengguna aktif media sosial, tetapi juga menjadi agen perubahan yang positif. Pendidikan mengenai kesan daripada perkongsian kandungan yang tidak sensitif perlu dititikberatkan. Mereka perlu dididik mengenai pentingnya menjaga keharmonian antara agama, menghormati perbezaan dan memahami batas-batas yang harus dipatuhi dalam berkongsi sesuatu kandungan di laman sosial.
Belia boleh menggunakan pengaruh mereka untuk menggalakkan penggunaan media sosial yang lebih bertanggungjawab. Dengan mempromosikan nilai-nilai kesopanan, saling menghormati dan menjaga sensitiviti agama. Mereka boleh membantu membentuk suasana dalam talian yang lebih harmoni.
Kempen kesedaran mengenai akibat negatif berkongsi kandungan yang tidak sesuai boleh dilakukan melalui platform seperti TikTok, yang turut digunakan oleh ramai golongan belia.
Beberapa langkah proaktif untuk mencegah penyebaran kandungan sensitif boleh diambil, antaranya:
- Menyaring kandungan: Sebelum berkongsi sesuatu, pastikan kandungan tersebut tidak mengandungi elemen yang boleh menyinggung mana-mana pihak, terutama berkaitan dengan agama.
- Membimbing rakan sebaya: Belia juga boleh memberi teguran kepada rakan-rakan mereka yang berkongsi kandungan tidak sensitif serta mengingatkan mereka tentang kepentingan menjaga keharmonian sosial.
- Menggalakkan pendidikan agama: Pendidikan yang mendalam mengenai agama boleh memberi belia perspektif yang lebih baik tentang sensitiviti dalam berkongsi maklumat di platform awam.-UTUSAN
MUHAMMAD SANIY SAMSUDIN
Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM)










