SUATU pemasangan aksesori di atas jalan telah dilakukan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Aksesori ini dipanggil road stud atau pepaku jalan. Aset ini dipasang sebanyak dua belas baris, merentang jalan, di Persiaran Perbandaran, Seksyen 14.
Penulis juga kerap memandu di atas jalan ini. Adalah didapati bahawa kereta akan bergegar lebih dari biasa, serta kena membrek. Keadaan begini kurang selesa. Terfikir pula, apakah perlu pihak MBSA memasang aset tersebut, di situ?
Aduan telah dibuat kepada MBSA, dengan menulis e-mel kepada Datuk Bandar Shah Alam pada 5 Februari 2025. Namun tiada respons diterima. E-mel kedua telah dihantar pada 28 Februari 2025, juga tiada apa-apa jawapan daripada beliau.
Pada masa yang sama, penulis juga menghantar e-mel kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), pada 13 Februari 2025. Tujuan ialah meminta pihak Miros memberikan nasihat kepada MBSA supaya mencabut dan buang aset tersebut.
Miros membalas e-mel saya, pada 5 Mac 2025, mengatakan bahawa pihak mereka telah menjalankan pemeriksaan keselamatan jalan raya (Road Safety Inspection, RSI) pada 26 Februari 2025, bagi menilai kesesuaian pemasangan pepaku jalan tersebut. Hasil penilaian telah dikongsikan dengan MBSA, melalui maklum balas bertulis pada 5 Mac 2025, untuk tindakan selanjutnya.
Miros menulis, “Sebarang keputusan berkaitan kewajaran pemasangan pepaku jalan di lokasi tersebut adalah dalam bidang kuasa MBSA. Namun begitu, kami menggalakkan pihak MBSA mempertimbangkan dapatan RSI yang telah disampaikan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan”.
Penulis telah memandu di jalan tersebut pada pagi hari Sabtu, 15 Mac 2025. Aset tersebut masih berada di situ, seperti di dalam gambar yang dirakam sendiri oleh penulis.
Adalah diharapkan pihak MBSA mencabut aset tersebut, demi memperkasakan situasi menang-menang. – UTUSAN
KAMARUDDIN HASSAN
Seksyen 8, Shah Alam










