SAYA ingin mengulas artikel oleh Penganalisis Sosiopolitik, Adli Mohamad yang bertajuk DAP perlu pinda Perlembagaan, betulkan asas perjuangan, yang diterbitkan pada 15 Februari lalu.
Yang menjadi persoalannya ialah kenapa dan mengapa bila terdapat parti politik yang mana asas pejuangannya ternyata bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan diterima oleh pihak Pendaftaran Negara, walhal kuasa pemerintahan dan pentadbiran negara di pihak kuasa orang Melayu?
Apa yang jelas dan nyata pihak DAP tidak merasa takut malah semakin berani bermaharajalela membuat kenyataan yang didakwa mengganggu serta menggugat kedudukan Melayu dan Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.
Walaupun pada mulanya perjuangan UMNO menentang keras terhadap tindakan DAP tetapi kesudahannya UMNO terpaksa juga bersama parti itu demi survival politik. Inilah yang agak mendukacitakan terhadap bangsa Melayu sendiri.
Maka, dengan itu, apa yang tersirat dan tersurat adalah kemenangan besar bagi perjuangan parti berlambangkan roket itu.
Akhir sekali apabila orang Melayu tidak bersama atau tidak bersatu dalam perjuangan politik akan menyebabkan bangsa itu terhakis dalam apa jua yang diperjuangkan dari semasa ke semasa.-UTUSAN
TEROPONG JAUH
Jerantut, Pahang









