Kesabaran guru dalam mendidik pelajar - Utusan Malaysia

Kesabaran guru dalam mendidik pelajar

GURU yang sabar mampu menghadapi segala cabaran dengan tenang dan bijak, seterusnya melahirkan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga mempunyai sahsiah yang baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi juga membimbing dan membentuk peribadi pelajar agar menjadi insan yang berguna. Dalam usaha mendidik, pelbagai cabaran akan muncul, termasuk perbezaan tahap pemahaman, sikap pelajar serta latar belakang keluarga.

Kesabaran menjadi salah satu elemen paling penting dalam profesion perguruan. Guru yang sabar bukan sahaja mampu menangani pelajar yang lemah dalam akademik, malah dapat mendidik mereka yang mempunyai masalah disiplin dengan lebih berkesan. Tanpa kesabaran, proses pembelajaran boleh menjadi tegang, yang akhirnya menjejaskan motivasi dan perkembangan pelajar itu sendiri.

Dalam bilik darjah, guru berhadapan dengan pelbagai ragam pelajar. Bagi pelajar yang lemah, mereka memerlukan lebih banyak perhatian dan penerangan tambahan. Guru perlu berusaha mencari pendekatan terbaik untuk membantu pelajar tanpa merasa jemu atau marah. Jika guru mudah berputus asa atau bersikap kasar, pelajar mungkin berasa rendah diri dan hilang keyakinan untuk belajar. Guru perlu mencuba pelbagai kaedah pengajaran yang sesuai sehingga pelajar benar-benar memahami sesuatu konsep yang diajar.

Selain akademik, guru juga bertanggungjawab dalam membentuk akhlak pelajar. Jika guru bertindak dengan kemarahan atau hukuman yang melampau, ia mungkin akan menambah tekanan kepada pelajar dan memburukkan keadaan. Sebaliknya, jika guru mendekati pelajar dengan kesabaran dan pemahaman, mereka lebih cenderung untuk berubah secara positif.

Malah ia juga membolehkan guru membina hubungan baik dengan pelajar. Apabila seorang pelajar berasa selesa dengan gurunya, mereka lebih mudah berkongsi masalah dan meminta pertolongan dalam pembelajaran. Guru akan menjadi tempat rujukan bagi pelajar, bukan sahaja dalam aspek akademik, tetapi juga dalam kehidupan seharian. Hubungan yang baik ini akan meningkatkan keberkesanan proses pengajaran kerana pelajar lebih terbuka untuk menerima teguran dan nasihat daripada guru yang mereka hormati.

Dalam menangani pelajar yang nakal atau kurang berminat untuk belajar, seorang guru yang sabar akan cuba memahami punca sebenar sikap pelajar tersebut dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik. Mungkin pelajar itu menghadapi masalah peribadi yang menyebabkan mereka bertindak demikian.

Selain itu, kesabaran juga diperlukan dalam menghadapi tekanan dari pihak luar seperti ibu bapa dan pentadbiran sekolah. Dalam keadaan ini, guru harus bersikap profesional dan bersabar dalam berkomunikasi dengan ibu bapa serta memberi penjelasan yang jelas mengenai perkembangan anak mereka. Kesabaran juga penting apabila berhadapan dengan pelbagai arahan dan perubahan dasar pendidikan yang boleh menambah beban kerja guru.

Dalam era digital ini, pelbagai kaedah pengajaran baharu diperkenalkan, seperti pembelajaran dalam talian dan penggunaan aplikasi interaktif. Tidak semua guru mahir dalam teknologi dan bagi yang kurang biasa dengannya, mereka perlu bersabar dalam mempelajari perkara baharu agar dapat memberikan pengajaran yang lebih efektif kepada pelajar. Kesabaran dalam menyesuaikan diri dengan perkembangan pendidikan adalah satu keperluan bagi memastikan guru kekal relevan dan berdaya saing.

Bersikap sabar dalam mendidik pelajar juga memberi kesan positif kepada kesejahteraan emosi guru sendiri. Jika seorang guru mudah marah atau putus asa, mereka akan mengalami tekanan tinggi dan boleh menyebabkan keletihan emosi yang serius. Sebaliknya, jika mengamalkan kesabaran dan sikap positif, mereka akan lebih tenang serta menikmati pekerjaan sebagai pendidik. Ini akan membantu mereka kekal bersemangat dalam menjalankan tugas serta memberikan yang terbaik untuk pelajar.-UTUSAN

NOR AZIRAH A. R
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Dengkil, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN