Makmal Impak Taylor’s University dengan kerjasama program Pelancongan Mampan telah menganjurkan Bengkel Fotografi Telefon Pintar pada 15 Februari lalu. Bengkel ini bertujuan untuk memperkasakan pengetahuan dan kemahiran fotografi bagi peniaga kecil dan pengusaha sektor pelancongan mesra Muslim, agar mereka dapat memanfaatkan kuasa visual dalam mempromosikan perniagaan mereka secara lebih berkesan dan beretika.
Projek ini bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan kepentingan fotografi melalui telefon pintar dalam kalangan masyarakat, terutama mereka yang menyediakan khidmat pelancongan mesra Muslim seperti pengusaha inap desa serta perniagaan makanan dan minuman. Ini bagi memastikan komunikasi visual tentang konsep mesra Muslim tidak disalah tafsir atau disalahgunakan dalam bahan pengiklanan.
Visual yang dipaparkan dalam pengiklanan haruslah jelas dan bertepatan agar tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelancong yang datang ke Malaysia.
Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan penyertaan seramai 14 orang peniaga kecil dan sederhana yang aktif dalam industri pelancongan mesra-Muslim. Dengan meningkatnya minat terhadap pelancongan halal di peringkat antarabangsa, Malaysia perlu lebih proaktif dalam menampilkan imej mesra-Muslim yang sebenar melalui bahan pengiklanan dan pemasaran digital.
Dengan kerjasama strategik antara institusi akademik, sektor perniagaan dan agensi kerajaan, inisiatif seperti ini mampu memperkasakan ekosistem pelancongan halal di Malaysia, sekali gus menjadikan negara ini sebagai destinasi utama bagi pelancong Muslim di seluruh dunia. – UTUSAN
DR. AZIAN MUHAMAD ADZMI
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Multimedia Teknologi dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM)










