PADA 18 Februari lalu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat membangkitkan keperluan agar Akta Antidiskriminasi Kaum digubal bagi menangani isu ucapan kebencian dan provokatif. Menurut beliau jika tiada tindakan, ia mampu memecahbelahkan perpaduan rakyat. Gesaan ini tercetus susulan video tular seorang penjual jagung yang didakwa menghina masyarakat India.
Di dewan yang sama, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, memberitahu tiada keperluan buat masa ini untuk menggubal atau memperkenalkan undang-undang baharu kerana peruntukan sedia ada telah memadai, selain jaminan diberi bagi langkah meningkatkan lagi penguatkuasaan undang-undang.
Baru-baru ini pula, Dr. Muzaffar Syah Mallow dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), ada membangkitkan keperluan segera agar diwujudkan akta khusus antidiskriminasi. Menerusi pandangan beliau yang disiarkan di ruangan Forum, Utusan Malaysia, beliau menyentuh hasil tinjauan belia dari Merdeka Center 2024, “terdapat peningkatan rasa diskriminasi dalam kalangan belia Cina dan India di negara ini”.
Sementelah beliau ada menyinggung ketidakberhasilan usaha meletakkan isu diskriminasi di bawah undang-undang buruh seperti Akta Kerja 1955 (Akta 265), wajar juga untuk beliau memenuhi kepedulian terhadap hasil kajian yang diterbitkan dalam Journal of the Asia Pacific Economy, tahun 2016 oleh Hwok-Aun Lee dan Muhammed Abdul Khalid.
Dapatan kajian itu menyebut graduan Melayu berdepan diskriminasi dalam sektor pekerjaan di Malaysia. Kaedah eksperimen yang digunapakai membuktikan diskriminasi itu wujud melangkau ke dalam sektor pekerjaan dan melibatkan belia kaum Melayu. Saya menyinggung konteks ini atas pertimbangan bahawa pandangan Muzaffar sebagai ahli haruslah bersifat adil dan keilmuan.
Pendekatan tinjauan dalam kajian Merdeka Center tidak sama sekali boleh membina generalisasi berkenaan diskriminasi yang dirasakan oleh kelompok yang ditinjau. Sambil tidak menafikan kepentingan aspek kognitif dalam tinjauan tersebut, pendekatan separa masak ini adalah jauh kaitannya dengan layanan sosial yang diterima terutama dari pihak kerajaan kepada mereka.
Dalam hal ini, saya menyeru Muzaffar agar menanggapi isu diskriminasi dalam negara secara adil, khusus apabila menyentuh garis dan latar perkauman. Ini termasuk mempertimbangkan beberapa insiden diskriminasi yang juga melibatkan kaum Melayu dalam kajian-kajian ilmiah. Layanan antara kelas pekerja, jurang upah dan kemiskinan antara etnik, agihan pekerjaan/jawatan yang condong nepotisme. Kepelbagaian bentuk diskriminasi seperti ini juga boleh dibahas lanjut.
Hakikat yang harus kita telan adalah polarisasi dan diskriminasi berlatarkan etnik yang wujud hingga kini, dibenihkan dari perbezaan matlamat antara kaum/etnik. Bahkan masalah ini dijelekkan lagi dengan kegagalan politik dan ahli akademik yang gagal cakna akannya.
Justeru, jihad keadilan sosial ke arah membasmi diskriminasi dalam apa juga bentuk, melangkaui garis perkauman adalah bertitik tolak dari kesepakatan kedua-dua kelompok ini dalam memahami fakta sosial tersebut. Tidak sekadar menyuluh penyelesaian dari perspektif perundangan. Seterusnya bawalah tekad mengisi ruang-ruang pembaharuan yang selama ini seakan sengaja dibiarkan kekal berongga.-UTUSAN
AMIR AL FATEH
Penyelidik dan penulis (politik & kerajaan)










