Apa masa depan pendidikan kejururawatan?

Apa masa depan pendidikan kejururawatan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU kajian penting yang diketuai oleh penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Shandong Xiehe, China, telah membuktikan bahawa pembelajaran hibrid (BL) mampu membawa perubahan besar dalam pendidikan kejururawatan. Kajian ini mendapati bahawa BL meningkatkan prestasi akademik, kemahiran praktikal, motivasi pelajar, kemahiran pengurusan kendiri, dan kesejahteraan mental.

Malaysia berpeluang untuk mengadaptasi kaedah pembelajaran hibrid bagi memastikan jururawat masa depan lebih bersedia dan kompeten dalam dunia kesihatan yang semakin mencabar.

Pendekatan ini memberi fleksibiliti kepada pelajar untuk mengakses bahan pembelajaran dalam talian, berlatih dengan simulasi maya, dan mengaplikasikan pengetahuan dalam sesi praktikal.

Kajian ini mengenal pasti lima manfaat utama pembelajaran hibrid dalam pendidikan kejururawatan:

Tingkat prestasi akademik dan pembangunan kemahiran
Pelajar yang mengikuti kaedah BL menunjukkan peningkatan dalam pemahaman teori dan kemahiran klinikal berbanding kaedah tradisional.
Penggunaan alat pembelajaran digital, seperti simulasi pesakit maya, membantu pelajar dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah klinikal.

Tingkat penglibatan dan motivasi pelajar
Persekitaran pembelajaran yang lebih interaktif meningkatkan penglibatan pelajar dalam perbincangan dan tugasan.
Aktiviti pembelajaran berasaskan kajian kes dan maklum balas masa nyata menggalakkan pembelajaran yang lebih mendalam.

Perkukuh pengurusan kendiri dan kemahiran pembelajaran bebas
Pembelajaran secara fleksibel membolehkan pelajar mengurus masa mereka dengan lebih baik dan mengukuhkan disiplin kendiri.

Tingkat kesejahteraan psikologi dan emosi
Kajian mendapati BL mengurangkan tekanan akademik dan kebimbangan, kerana pelajar mempunyai lebih kawalan terhadap proses pembelajaran mereka.
Interaksi dalam talian dengan rakan sekelas dan pensyarah membantu meningkatkan sokongan emosi dan kesejahteraan mental.

Pengalaman pembelajaran yang lebih memuaskan
Pelajar kejururawatan melaporkan kepuasan yang lebih tinggi terhadap kaedah BL kerana fleksibilitinya, akses mudah kepada sumber pembelajaran, dan unsur interaktif yang lebih menarik.

Peluang Malaysia teraju Pendidikan Kejururawatan Digital
Jururawat masa depan perlu lebih daripada sekadar ilmu teori, mereka perlu mahir dalam aplikasi praktikal dan beradaptasi dengan teknologi kesihatan moden. Pembelajaran hibrid adalah jawapan kepada cabaran ini.

Kajian ini mengesyorkan supaya institusi pendidikan dan pembuat dasar di Malaysia melabur dalam infrastruktur pembelajaran digital, latihan pensyarah, serta penggunaan teknologi simulasi interaktif bagi memperkukuhkan keberkesanan pendidikan kejururawatan.

Beberapa institusi pengajian tinggi di Malaysia telah mula meneroka kaedah pembelajaran hibrid, namun langkah lebih proaktif perlu diambil bagi memastikan sistem ini diterapkan secara menyeluruh di semua program kejururawatan negara.

Walaupun kajian ini mengesahkan keberkesanan pembelajaran hibrid, ia juga menyoroti beberapa aspek yang memerlukan kajian lanjut, terutamanya kesan jangka panjang terhadap pemikiran kritikal dan keupayaan membuat keputusan klinikal.

Dengan perkembangan pantas dalam sektor kesihatan dan pendidikan, persoalan utama yang perlu dijawab adalah bagaimana institusi pengajian tinggi di Malaysia boleh mempercepatkan pelaksanaan pembelajaran hibrid bagi memastikan generasi jururawat akan datang dilengkapi dengan pendidikan yang terbaik. – UTUSAN

PROFESOR MADYA
DR. ARUMUGAM RAMAN
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN