TERCEKIK berlaku apabila makanan atau objek asing tersangkut di saluran pernafasan, menghalang udara daripada masuk ke paru-paru. Bahaya tercekik boleh dikategorikan berpunca dari empat faktor risiko utama iaitu tekstur dan bentuk makanan, keupayaan mengunyah dengan baik, gangguan proses menelan serta risiko salah saluran dan faktor tambahan yang meningkatkan risiko seperti kurangnya air liur.
Bagi mengurangkan risiko tercekik dalam kalangan kanak-kanak, pengawasan semasa makan amat penting. Kanak-kanak tidak boleh ditinggalkan tanpa pemantauan ketika makan dan mereka perlu duduk dalam keadaan tegak bagi memastikan makanan dapat ditelan dengan betul.
Selain itu, pemilihan makanan yang selamat juga memainkan peranan utama dalam mengurangkan risiko tercekik. Makanan yang berbentuk bulat, keras atau licin tidak sesuai untuk kanak-kanak kecil kerana boleh menyebabkan halangan di saluran pernafasan.
Oleh itu, makanan perlu dipotong menjadi saiz yang lebih kecil sebelum diberikan kepada mereka. Selain itu, kesedaran mengenai cara makan yang selamat perlu diterapkan dalam kalangan kanak-kanak. Mereka harus diajar untuk mengunyah makanan dengan betul sebelum menelannya serta mengelakkan bercakap, ketawa atau bermain ketika makan kerana tindakan ini boleh meningkatkan risiko makanan tersedak ke dalam saluran pernafasan.
Dalam masa sama, pendidikan dan latihan pertolongan cemas juga amat penting bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku insiden tercekik.
Ibu bapa, guru dan kakitangan sekolah disaran mempelajari teknik pertolongan cemas seperti Heimlich Maneuver dan resusitasi kardiopulmonari (CPR) supaya mereka dapat bertindak dengan pantas dalam situasi kecemasan, sekali gus berpotensi menyelamatkan nyawa. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. EZRIN
HANI SUKADARIN
Fakulti Teknologi Kejuruteraan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)









