Ais krim murah, sedap, berbaloi tetapi adakah halal?

Ais krim murah, sedap, berbaloi tetapi adakah halal?

PASTIKAN kita menyokong perniagaan yang bukan sahaja menawarkan harga berpatutan tetapi juga memenuhi standard halal dan kesihatan yang diperlukan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA kini menyaksikan ledakan jenama ais krim dan minuman seperti Mixue, Ai-CHA, WeDrink, Momoyo, dan Bingxue yang semakin mendapat tempat di hati pengguna. Dengan harga yang sangat berpatutan, jenama-jenama ini bukan sahaja menjadi pilihan utama pencinta manisan, malah berjaya menarik perhatian golongan muda, terutamanya Generasi Z.

Dalam keghairahan menikmati manisan murah ini, ada satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan iaitu status halal.

Di Malaysia, mendapatkan pensijilan halal adalah keperluan penting bagi perniagaan yang ingin menarik pelanggan Muslim. Setakat ini, 48 cawangan Mixue telah menerima sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sekali gus memberi keyakinan kepada pengguna Muslim.

Namun, Ai-CHA masih belum mendapat pensijilan halal, yang mungkin menimbulkan keraguan dalam kalangan pengguna Muslim. Begitu juga dengan Momoyo yang mematuhi piawaian halal Indonesia, tetapi tidak memiliki pensijilan halal Jakim. Sebaliknya, BingXue dan WeDrink berjaya memperoleh pensijilan halal, menjadikannya pilihan yang lebih diyakini.

Generasi Z, menjadi pemacu utama kejayaan jenama-jenama ini. Faktor utama yang menarik mereka ialah harga murah, kemudahan mendapatkan produk dan kehadiran digital yang kukuh. Dengan pengaruh media sosial yang kuat, jenama-jenama ini memanfaatkan pemasaran digital untuk menarik minat golongan muda dan membina kesetiaan pelanggan.

Selain itu, trend kesihatan dan kesejahteraan semakin mendapat perhatian dalam kalangan Generasi Z. Walaupun ais krim tradisional kurang mesra kesihatan, permintaan terhadap pilihan lebih sihat seperti ais krim rendah gula dan bebas tenusu semakin meningkat. Ini memberi peluang kepada jenama-jenama ini untuk terus berinovasi dan memenuhi permintaan pasaran.

Pasaran ais krim di Malaysia terus berkembang pesat. Pada 2021, saiz pasaran ini bernilai AS$ 220.9 juta (RM 977.4 juta)dan dijangka berkembang dengan kadar pertumbuhan tahunan melebihi 4 peratus. Faktor utama menyumbang pertumbuhan ini termasuklah cuaca panas dan peningkatan permintaan terhadap produk premium.

Namun, di sebalik perkembangan ini, pengguna perlu lebih peka terhadap produk yang mereka beli. Harga murah sememangnya menggoda, tetapi aspek halal, bahan-bahan yang digunaka dan kesan terhadap kesihatan juga perlu diambil kira. Sebagai pengguna yang bijak, selidik dahulu sebelum membeli. Jika status halal sesebuah jenama diragui, lebih baik memilih alternatif yang disahkan halal oleh Jakim.

Fenomena perniagaan ais krim dan minuman di Malaysia membuktikan harga rendah bukan satu-satunya faktor kejayaan. Kepekaan terhadap keperluan pengguna Muslim, inovasi dalam produk dan strategi pemasaran digital memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan berterusan.

Sebagai pengguna, kita mempunyai kuasa untuk memilih. Pastikan kita menyokong perniagaan yang bukan sahaja menawarkan harga berpatutan tetapi juga memenuhi standard halal dan kesihatan. Ingat, bukan semua yang murah itu berbaloi dan tidak semua yang mahal itu sia-sia.

Pilih dengan bijak kerana kesihatan dan keyakinan terhadap makanan yang kita nikmati adalah perkara yang tidak boleh dikompromi.-UTUSAN

NOOR ASLINDA ABU SEMAN
Johor Business School

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN