Adakah sasaran STEM keperluan tanpa kerelaan?

Adakah sasaran STEM keperluan tanpa kerelaan?

MEMUPUK minat STEM kepada pelajar, meningkatkan kompetensi guru dan pelajar, serta kemudahan bersesuaian akan membantu mempercepat hasrat negara memperkukuh STEM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MULAI tahun depan, sasaran 70 peratus pelajar di sekolah berasrama penuh (SBP) di Malaysia ditetapkan untuk memilih aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bertujuan mencapai sasaran 60,000 jurutera bagi memenuhi permintaan industri.

Kerajaan khuatir susulan kemerosotan kemasukan pelajar baharu ke aliran STEM tatkala negara sedang menuju ke era terbaharu kecerdasan buatan (AI).

Wujud dua isu di sini iaitu pertamanya tentang faktor penurunan minat pelajar terhadap STEM itu sendiri, serta pelajar sudah berasakan bahawa mereka boleh menjalani kehidupan kerjaya masa hadapan yang selesa meskipun tanpa memilih kerjaya dalam aliran STEM.

Seperkara yang perlu diingatkan ialah isu ini bukan hanya perlu ditumpukan pada sekolah berasrama penuh atau sekolah tertentu sahaja, tetapi pada sekolah harian biasa lainnya di seluruh negara. Ini kerana SBP sendiri kebanyakannya memang berada dalam aliran Sains.

Maka, memupuk minat STEM kepada pelajar, meningkatkan kompetensi guru dan pelajar, serta kemudahan bersesuaian akan membantu mempercepat hasrat negara memperkukuh STEM.

Sasaran 60,000 bukannya mudah dicapai jika hanya bersandar kepada pelajar SBP sahaja. Malah, negara mempunyai banyak sekolah bukan SBP yang hebat serta berprestasi tinggi untuk turut sama menyahut cabaran ini.

Sesuatu yang menarik untuk difikirkan bersama ialah sama ada pelajar akan kekal menjadikan aliran STEM sebagai kerjaya mereka jika negara berusaha melonjak secara agresif dan radikal melalui penetapan syarat sebegini.

Pelajar mungkin boleh sahaja belajar dalam aliran STEM, tetapi belum tentu mereka mahu melanjutkan pengajian dalam bidang aliran STEM. Paling buruk ialah jika graduan jurusan ini pula tidak semuanya akan bekerja dalam bidang STEM.

Pelajar mesti rela dan mahu secara sukarela untuk mempelajari STEM.

Jangan suatu masa nanti kita hanya boleh berbangga dengan peningkatan pelajar dalam aliran STEM di SBP, tetapi tidak ramai pun yang konsisten minat mereka untuk bekerja dalam bidang tersebut.

Mempelajari STEM pun hanya kerana syarat untuk memasuki SBP dan mendapatkan tempat di universiti awam. Trend itu sudah banyak pun berlaku. Malah, pembaziran tenaga graduan yang sudah belajar bertahun lamanya, tidak juga menabur bakti dalam bidang aliran STEM yang dipelajari.

Keterujaan pelajar melalui motivasi instrinsik (dalaman) untuk mempelajari STEM perlu kita awasi. Kuncinya adalah mewujudkan pendekatan pembelajaran menyeronokkan dan mesra murid. Kita sudah maklum bahawa bidang STEM memang mencabar untuk dipelajari.

Maka, memupuk minat melalui pendedahan positif dan potensi kerjaya masa hadapan akan membantu pelajar supaya rela, mahu dan konsisten mempelajari STEM sehingga mencapai sasaran negara bagi memenuhi permintaan industri.

Mungkin kedengarannya tidak adil jika kita seakan memaksa pelajar untuk menyambung pengajian dalam aliran STEM, hanya untuk memenuhi hasrat negara. Biarlah pelajar itu sendiri mempunyai minat mendalam pada STEM, kerana minat yang konsisten dan berterusan akan melahirkan tenaga kerja yang tidak goyah.

Tidaklah nanti apabila dunia kerjaya aliran ini dipenuhi dengan stigma negatif, mereka akan dengan mudah meninggalkan aliran STEM begitu sahaja. Ini akan benar-benar merugikan negara jika pelajar tiada jati diri yang kental mendepani cabaran STEM pada masa hadapan.- UTUSAN

MOHD EFFENDI @ EWAN MOHD MATORE
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN