Tuisyen penentu kejayaan atau mitos?

Tuisyen penentu kejayaan atau mitos?

TUISYEN boleh menjadi pelengkap kepada sistem pendidikan tetapi tidak seharusnya dianggap sebagai satu keperluan mutlak untuk kejayaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-baru ini, seorang pelajar sekolah menengah berkongsi pandangannya bahawa tuisyen adalah penentu kejayaan akademik. Pandangan ini memberi gambaran seolah-olah kejayaan akademik bergantung sepenuhnya kepada tuisyen, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada tuisyen benar-benar satu keperluan atau bolehkah kejayaan dicapai melalui sistem persekolahan formal sahaja.

Ia berkemungkinan berkaitan dengan beban silibus yang tinggi dan keperluan pemahaman pembelajaran yang lebih mendalam. Dengan sukatan pelajaran yang pelbagai dan jadual pembelajaran yang padat, pelajar merasakan tuisyen adalah satu keperluan utama. Ini adalah kerana mereka memerlukan lebih banyak masa dan bimbingan berfokus untuk memahami sesuatu konsep dengan lebih baik. Bilangan pelajar yang ramai di dalam kelas menyukarkan guru untuk memberi perhatian kepada setiap pelajar. Oleh itu, kelas tuisyen menjadi alternatif bagi mengatasi masalah pembelajaran pelajar.

Selain itu, keinginan untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan turut memainkan peranan penting dalam kebergantungan terhadap tuisyen. Tidak dinafikan, ada yang berjaya kerana menghadiri tuisyen tetapi sejauh mana kejayaan itu bergantung sepenuhnya kepada tuisyen atau sebenarnya hasil usaha individu?

Sokongan ibu bapa turut menjadi faktor yang mendorong pelajar menyertai tuisyen. Dalam masyarakat yang semakin kompetitif, ibu bapa melihat tuisyen sebagai satu bentuk pelaburan dalam pendidikan anak-anak mereka.

Kebergantungan yang terlalu tinggi kepada tuisyen boleh membawa beberapa kesan yang perlu diberi perhatian. Salah satu kesannya ialah cabaran kepada pelajar yang kurang berkemampuan. Tidak semua pelajar mempunyai akses kepada kelas tuisyen kerana faktor kewangan atau lokasi. Jika kejayaan akademik terlalu bergantung kepada tuisyen, pelajar dari latar belakang yang kurang berkemampuan mungkin akan ketinggalan berbanding rakan sebaya mereka yang mampu membayar yuran tuisyen yang mahal. Kesan jangka panjangnya adalah ketidaksamaan dalam peluang pendidikan yang akhirnya memberi impak kepada perkembangan sosial dan ekonomi negara.

Bagi memastikan semua pelajar mendapat peluang pembelajaran yang seimbang, beberapa langkah boleh dipertimbangkan. Salah satunya adalah dengan memperkukuh kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pendekatan yang lebih interaktif dan pembelajaran berpusatkan pelajar dapat membantu meningkatkan pemahaman tanpa perlu bergantung kepada kelas tambahan.

Selain itu, menyediakan sokongan pembelajaran tambahan secara inklusif juga merupakan langkah penting. Program bimbingan atau sumber pembelajaran percuma seperti platform digital boleh diperluaskan agar semua pelajar tanpa mengira latar belakang mendapat manfaat tambahan dalam pembelajaran mereka. Dalam masa yang sama, pembelajaran kendiri perlu digalakkan. Kemahiran seperti pemikiran kritis dan inisiatif dalam pembelajaran boleh dibentuk sejak awal agar pelajar lebih berdikari dalam memahami sesuatu topik tanpa memerlukan bantuan luar secara berterusan.

Tuisyen boleh menjadi pelengkap kepada sistem pendidikan tetapi tidak seharusnya dianggap sebagai satu keperluan mutlak untuk kejayaan. Ramai pelajar berjaya tanpa bergantung sepenuhnya kepada tuisyen, membuktikan bahawa terdapat pelbagai pendekatan dalam mencapai kecemerlangan akademik. Apa yang lebih penting ialah memastikan pembelajaran yang berkualiti dapat diakses oleh semua pelajar. Dengan usaha berterusan daripada semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan pelajar sendiri, pendidikan yang berkesan dapat dicapai tanpa kebergantungan yang berlebihan kepada tuisyen. – UTUSAN

SYED AZMAN SYED ISMAIL & PROFESOR MADYA DR. SITI MISTIMA MAAT
Fakulti Pendidikan, Universiti
Kebangsaan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN