KERANCAKAN teknologi berevolusi menerusi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan 5.0 membawa perubahan besar dalam kehidupan manusia. Dari kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT), hingga robotik, semua ini bertujuan mempermudah tugas seharian. Namun, teknologi hanyalah alat, bukan pengganti kecerdikan manusia. Penerapan teknologi yang bijak perlu seiring dengan etika dan nilai kemanusiaan.
Revolusi IR4.0 dan IR5.0 menekankan gandingan antara manusia dan teknologi. AI, contohnya, mempercepat analisis data, automasi tugas rutin dan membantu membuat keputusan lebih efisien.
Namun, peranan manusia tetap penting untuk memastikan keputusan berlandaskan nilai dan moral.
Dalam bidang pekerjaan, teknologi meningkatkan produktiviti melalui automasi dan analitik. Walau bagaimanapun, tumpuan juga perlu diberikan kepada pendidikan dan pembangunan kemahiran tenaga kerja.
Literasi digital dan pemikiran kritis menjadi keperluan penting untuk menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pekerjaan. Teknologi juga harus digunakan untuk meningkatkan keselamatan dan kesihatan kerja, menggantikan manusia dalam tugas berbahaya tanpa menggugat kedudukan pekerja secara keseluruhan.
Teknologi 5G pula memperkukuh sambungan internet, memberikan kelajuan tinggi dan latensi rendah. Ini membuka ruang kepada inovasi seperti kenderaan autonomi, perkhidmatan kesihatan jarak jauh, dan pendidikan berasaskan teknologi.
5G mempercepat komunikasi IoT, menjadikan integrasi data lebih lancar dan meningkatkan efisiensi operasi dalam pelbagai sektor.
Namun, bergantung sepenuhnya kepada teknologi juga membawa risiko. Penggunaan AI menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan data, privasi dan etika. Contohnya, keputusan autonomi oleh AI dalam sektor perubatan atau pengangkutan boleh menimbulkan persoalan tanggungjawab jika berlaku kesilapan. Selain itu, ketidaksamaan akses teknologi antara kawasan bandar dan luar bandar juga harus diberi perhatian.
Revolusi teknologi ini memerlukan pendekatan seimbang. Inovasi harus didorong tanpa melupakan impak sosialnya. Sebagai contoh, AI boleh membantu meningkatkan pengalaman pelanggan melalui personalisasi perkhidmatan. Namun, pembangunan AI perlu memastikan keadilan, ketelusan dan tanggungjawab.
Dalam konteks Malaysia, cabaran utama ialah memastikan integrasi teknologi menyokong matlamat pembangunan mampan. Teknologi harus menjadi pemangkin untuk meningkatkan kualiti hidup, bukan sekadar mempermudah kerja.
Gabungan teknologi dan nilai kemanusiaan mampu mencipta masyarakat yang lebih inklusif dan progresif.
Pendekatan etika dan manusiawi terhadap teknologi adalah kunci kepada kemajuan sejati.
Teknologi bukan pengganti kecerdikan manusia, tetapi pelengkap untuk mengoptimumkan potensi kita. Dengan memahami batasan dan memanfaatkan kekuatannya, kita dapat membina masa depan yang lebih cerah dan seimbang.Jangan takut pada teknologi tetapi takutlah pada manusia yang menggunakannya. Pokok pangkal tanya iman.-UTUSAN
YAU’MEE HAYATI MOHAMED YUSOF
Fakulti Pengurusan Perniagaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Kampus Dungun, Terengganu









