Potensi wakaf bertempoh sebagai sumber dana alternatif

Potensi wakaf bertempoh sebagai sumber dana alternatif

WAKAF bertempoh dipercayai mampu menarik lebih ramai pewakaf untuk mewakafkan harta mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WAKAF bertempoh semakin mendapat perhatian pengkaji berikutan prospek dan potensi yang ada padanya. Pandangan yang mengharuskan pelaksanaan wakaf secara bertempoh, berdasarkan pandangan mazhab Maliki dan segelintir al-Hanafiyyah (Khususnya Abu Yusuf).

Pentarjihan ini dilakukan atas asas ia tidak menyalahi tujuan berwakaf dan lebih menepati maslahah semasa. Konsep ‘bertempoh’ boleh membawa beberapa penafsiran antaranya, harta wakaf boleh dipulangkan kepada pewakaf atau waris selepas tamat tempoh matang atau harta wakaf boleh bertukar kepada jenis yang lain (contoh: wakaf khas ditukar kepada am).

Karakteristik ini membuatkan wakaf bertempoh dilihat lebih fleksibel dan mudah untuk dibangunkan sekali gus meminimumkan masalah harta wakaf yang tidak terurus.

Sehingga kini, hanya Johor melaksanakan wakaf bertempoh secara jelas melalui Kaedah-Kaedah Wakaf Johor 1983 sementara Majlis Agama Islam Wilayah, Selangor, Perak dan Pulau Pinang menunjukkan reaksi positif dan minat terhadap manfaat wakaf bertempoh.

Berdasarkan keharusan wakaf bertempoh di Johor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan, jelas terdapat perbezaan dari sudut takrif, jenis dan tempoh masa wakaf.

Johor dan Terengganu memperuntukkan wakaf bertempoh (muaqqat) boleh dilaksanakan ke atas wakaf khairi dan wakaf ahli, manakala di Wilayah Persekutuan wakaf bertempoh terhad kepada wakaf khas sahaja.

Bagi penetapan tempoh masa, hanya Johor menetapkan tempoh yang dibenarkan adalah tidak melebihi 60 tahun atau tidak melebihi dua generasi, manakala Terengganu dan Wilayah Persekutuan tidak menerangkan tempoh masa dan mekanisme pelaksanaannya. Walaupun wakaf bertempoh dikanunkan, namun dari sudut aplikasi masih belum dilaksanakan disebabkan tiada mekanisme pelaksanaanya yang jelas dan komprehensif.

Oleh itu, terdapat keperluan penambahbaikan mekanisme pelaksanaan wakaf bertempoh di Malaysia. – UTUSAN

DR. MUHAMAD FIRDAUS AB RAHMAN & DR. HUSSEIN AZEEMI ABDULLAH THAIDI
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN