PENDIDIKAN inklusif di institusi pengajian tinggi (IPT) merujuk kepada sistem pendidikan yang memberi peluang kepada semua individu termasuk mereka yang mempunyai kebolehan berbeza untuk memperoleh ilmu tanpa diskriminasi.
IPT memainkan peranan penting dalam memastikan setiap pelajar mendapat akses pendidikan yang setara, termasuk mereka yang mengalami kecacatan fizikal, gangguan pembelajaran, atau cabaran mental. Dengan adanya pendidikan inklusif, pelajar berkeperluan khas dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran dan bersaing secara sihat dengan rakan-rakan mereka.
Bagi memastikan pendidikan inklusif berkesan, tenaga pengajar perlu memiliki kemahiran dalam menangani keperluan pelajar yang berbeza. Namun, tidak semua pensyarah diberi latihan yang mencukupi mengenai pedagogi inklusif dan cara mengadaptasi kurikulum untuk memenuhi keperluan semua pelajar.
Masih wujud stigma dalam masyarakat yang menganggap pelajar berkeperluan khas sebagai golongan yang kurang berupaya untuk bersaing dalam dunia akademik. Persepsi negatif ini boleh menyebabkan pelajar berasa rendah diri dan kurang bersemangat untuk melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran.
Pelaksanaan pendidikan inklusif memerlukan peruntukan kewangan tambahan untuk penyediaan kemudahan, perkhidmatan sokongan serta latihan untuk tenaga pengajar termasuk teknologi seperti kecerdasan buatan (AI). Kekurangan dana sering menjadi penghalang utama dalam usaha meningkatkan akses pendidikan bagi pelajar berkeperluan khas.
Kerana itu, IPT perlu menyediakan kemudahan sesuai untuk pelajar berkeperluan khas, seperti laluan khas, tandas mesra OKU, serta bahan pembelajaran dalam format braille dan audio. Selain itu, teknologi bantuan seperti perisian pembaca skrin dan alat bantu pendengaran juga perlu disediakan.
Dalam masa sama, kursus latihan khas perlu diberikan kepada tenaga pengajar bagi membolehkan mereka memahami konsep pendidikan inklusif serta mengadaptasi strategi pengajaran mengikut keperluan pelajar selain meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar supaya mereka lebih memahami dan menyokong rakan-rakan mereka yang memerlukan bantuan.
IPT boleh bekerjasama dengan badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta dalam usaha memperkasa pendidikan inklusif. Melalui kerjasama ini, IPT dapat memperoleh sumber kewangan dan teknologi bantuan untuk meningkatkan perkhidmatan kepada pelajar berkeperluan khas. – UTUSAN
JERINA IBRAHIM
Jabatan Perdagangan, Politeknik Nilai










