MUNGKIN kita pernah mendengar ungkapan yang menyebutkan tentang tiga bulan dalam Islam yang berturut-turut iaitu bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan. Seorang ulama, Abu Bakar al-Warraq dalam kitabnya, Lataif al-Ma’arif menggambarkan seseorang Muslim ketika berada dalam ketiga-tiga bulan ini sebagai petani atau pekebun.
Beliau menyatakan bulan Rejab adalah bulan bagi seseorang itu untuk bercucuk tanam, Syaaban pula tempoh untuk menyiram dan membaja dan Ramadan adalah bulan untuk memungut hasil tanaman.
Gambaran ini mempunyai signifikan dalam menghayati kepentingan bulan-bulan ini. Penetapan bulan dan waktu bukan sahaja sebagai panduan kehidupan seharian tetapi terkait pelaksanaan ibadah.
Contohnya, ditetapkan kewajipan puasa penuh sebulan hanya pada Ramadan sahaja, sedangkan waktu lain sepanjang tahun kecuali bulan itu boleh untuk memilih puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis, atau puasa selang sehari mengikut puasa Nabi Dawud AS atau puasa tiga hari berturut-turut pada pertengahan bulan Islam iaitu pada tarikh 13, 14 dan 15 setiap bulan. Demikian juga pelaksanaan ibadah haji hanya dalam sebulan sahaja iaitu pada Zulhijjah.
Ambillah kesempatan merancang melakukan amal ibadah pada bulan-bulan mulia ini untuk menuntut ilmu dan mendalaminya supaya dapat meningkatkan lagi kualiti ibadah dan amal kebajikan. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat barakah dan keredaan Allah berpanjangan.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. KHADHER AHMAD
Jabatan Al-Quran dan Al-Hadis, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya










