LAGOS: Individu terkaya di Afrika yang juga jutawan Nigeria, Aliko Dangote melancarkan jualan saham terbesar dalam sejarah benua itu menerusi tawaran pegangan di kilang penapis minyak beliau kepada orang ramai dengan potensi mengumpul dana sehingga AS$2.1 bilion (RM8.5 bilion).
Tawaran Awam Permulaan (IPO) tersebut melibatkan kira-kira tiga peratus pegangan dalam kilang penapis minyak Dangote. Beliau menyatakan hasrat untuk memberi peluang kepada rakyat biasa Nigeria berkongsi kejayaan premis pemprosesan berkenaan.
Kilang yang mula beroperasi pada 2024 itu merupakan antara yang terbesar di dunia dan mengambil masa lebih sedekad untuk disiapkan.
Kini, kilang pemprosesan itu membekalkan lebih 70 peratus daripada jumlah penggunaan tenaga Nigeria, sekali gus mencetuskan keterujaan dalam kalangan masyarakat tempatan untuk memiliki sebahagian daripada aset negara berkenaan.
Antara yang teruja termasuk warga tempatan, Isah Salisu yang mengeluarkan simpanannya sebanyak 50,000 naira (RM153) untuk melabur kerana tidak mahu terlepas peluang memandangkan ramai kenalannya turut membuat pelaburan yang sama.
Mengulas perkembangan itu, Pakar Ekonomi dan Perniagaan, Dr Abdulrazak Ibrahim Fagge menyifatkan pelancaran IPO tersebut sebagai peristiwa bersejarah.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan para pelabur harga saham bakal turun dan berisiko menyebabkan kerugian, terutamanya bagi pelabur kali pertama.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak melabur menggunakan wang yang diperlukan dalam tempoh terdekat, sebaliknya menggunakan dana simpanan yang tidak digunakan untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Abdulrazak turut menggesa orang awam berwaspada terhadap penipu yang cuba mengambil kesempatan ke atas individu yang kurang berkemahiran dalam proses pelaburan. Beliau menasihatkan pelabur supaya hanya berurusan dengan institusi kewangan yang terdaftar secara rasmi.
Nigeria merupakan pengeluar minyak terbesar di Afrika, namun sebelum kilang berkenaan dibuka, sebahagian besar bekalan bahan api negara itu perlu diimport akibat kekurangan kapasiti penapisan tempatan. -AGENSI










