PENIPUAN berlaku kerana terdapat individu yang hanya memikirkan keuntungan diri tanpa menghiraukan kesan kepada orang lain. Dalam kes penipuan pakej umrah, keinginan untuk mengejar kekayaan dengan mudah mendorong penipu memanfaatkan niat suci umat Islam yang ingin menunaikan ibadah.
Setiap kejadian ini membawa pengajaran yang besar supaya masyarakat perlu lebih berhati-hati dengan tawaran yang kelihatan terlalu baik untuk dipercayai. Kedua, kesedaran dan pengetahuan perlu dipertingkatkan, terutama dalam mengenali tanda-tanda penipuan. Misalnya, menyemak latar belakang syarikat atau individu yang menawarkan perkhidmatan sebelum membuat sebarang pembayaran.
Untuk mengatasi penipuan, masyarakat perlu memastikan semua tawaran diperiksa kesahihannya, mengesahkan identiti pihak yang berurusan dan mengelakkan berkongsi maklumat peribadi. Pendidikan tentang teknik penipuan juga amat penting untuk meningkatkan kesedaran. Jika menjadi mangsa atau mengesyaki penipuan, laporkan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan penipu terus berleluasa.-UTUSAN
AZIZUL ASYRAF MD. HELMI
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Dato’ Sulaiman, Parit Sulong, Johor










